Kematian presiden firma mata wang kripto Kanada, jutaan dolar gagal diakses


Presiden QuadrigaCX Gerald Cotten meninggal dunia pada pertengahan Januari akibat komplikasi penyakit Crohn pada 9 Disember ketika melakukan kerja amal di sebuah rumah anak yatim di India. – Gambar Twitter, 6 Februari, 2019.

SEBUAH firma pertukaran mata wang kripto Kanada diberikan perlindungan daripada bankrap pada Isnin selepas gagal memperoleh kata laluan bagi akaun bernilai Can$180 juta (AS$137 juta) yang dipegang presidennya selepas meninggal dunia secara mengejut.

Dalam satu kenyataan, QuadrigaCX berkata ia meminta perlindungan daripada pemiutang selepas beberapa minggu cuba “mencari dan menyelamatkan rizab mata wang kripto kami yang sangat penting” berikutan kematian presidennya, Gerald Cotten.

Mahkamah tinggi Nova Scotia membenarkan permohonan yang dibuat oleh balu Cotten, Jennifer Robertson bagi pihak syarikat, yang juga menghentikan dagangan mata wang pada platformnya.

Quadriga CX mengumumkan pada pertengahan Januari yang Cotten meninggal akibat komplikasi penyakit Crohn pada 9 Disember ketika melakukan kerja amal di sebuah rumah anak yatim di India. Beliau berusia 30 tahun.

Dalam afidavit, Robertson berkata syarikat itu tidak dapat mengakses komputer yang dienkripsikan, dipercayai digunakan untuk menyimpan mata wang kripto dimiliki 115,000 pengguna.

“Saya tidak tahu kata kata kunci laluan atau pemulihan,” kata Robertson sambil menambah semua usaha mencari juga menemui jalan buntu.

Seorang pakar dibawa masuk cuba menembusi enkripsi itu hanya berhasil memperoleh beberapa koin dan maklumat pada telefon bimbit Gerry dan komputer lain, tetapi bukan daripada komputer utama yang digunakannya untuk menjalankan perniagaan.

Platform digital syarikat itu membolehkan perdagangan Bitcoin, Litecoin dan Ethereum. – AFP, 6 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen