SEORANG wanita Jerman dan dua kanak-kanak warga Mesir terbunuh pada Selasa apabila sebuah bangunan runtuh di kawasan kediaman bandar Luxor di selatan negara itu, kata seorang pegawai keselamatan kanan kepada AFP.
“Setakat ini terdapat seorang pelancong Jerman meninggal bersama dua kanak-kanak warga Mesir,” kata pegawai itu, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Wanita berkenaan melalui bangunan itu ketika ia runtuh kira-kira jam 6 petang (1600 GMT), meninggal dunia akibat kecederaannya sebaik sahaja tiba di hospital, katanya.
Seorang lelaki Jerman yang berjalan bersama wanita itu cedera dan dibawa ke hospital. Hubungannya dengan wanita itu belum dipastikan, menurut sumber perubatan dan pegawai keselamatan lain.
Sekurang-kurangnya 13 orang cedera dan dibawa ke hospital, kata sumber itu.
Luxor adalah satu daripada destinasi pelancongan terpenting di negara ini dan merupakan tempat bagi makam raja Mesir yang terkenal, Firaun Tutankhamun di Lembah Raja-Raja.
Pihak berkuasa beberapa tahun kebelakangan ini berusaha memulihkan sektor pelancongan, tunggak ekonomi Mesir sejak protes jalanan besar-besaran pada 2011 untuk menggulingkan pemimpin Hosni Mubarak dan menyebabkan negara bergolak selama bertahun-tahun. – AFP, 6 Februari, 2019.
Komen