RUSIA perlu membangunkan sistem peluru berpandu jenis baharu dalam tempoh dua tahun akan datang, kata menteri pertahanan negara itu selepas Washington dan Moscow membatalkan perjanjian utama kawalan senjata.
Amerika Syarikat (AS) berulang-kali menuduh Rusia melanggari Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 dan Presiden Donald Trump berkata Washington sudah memulakan proses menarik diri daripada perjanjian itu dalam tempoh enam bulan.
Susulan pengumuman Trump itu, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata Moscow juga akan meninggalkan perjanjian itu dan memulakan proses untuk membina senjata baharu.
Penganalisis menyifatkan perkembangan antara kedua-dua negara itu akan memulakan era baharu perlumbaan senjata.
Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu berkata Rusia akan membangunkan sistem peluru berpandu Kalibr yang dilengkapi misil jarak jauh pada 2019-2020.
“Dalam tempoh yang sama juga, Moscow akan membangunkan sistem peluru berpandu darat yang mempunyai keupayaan misil berkelajuan hipersonik,” katanya.
Shoigu berkata pelan pembangunan senjata itu sudah diluluskan oleh Putin.
Perjanjian INF melarang pembangunan sistem peluru berpandu darat jarak sederhana dan pendek tetapi tidak menyekat peluru berpandu yang dilancarkan dari air atau udara.
“Penggunaan peluru berpandu dari udara dan laut membolehkan kita mengurangkan masa yang diperlukan untuk menghasilkan misil baharu dan kos membuatnya,” kata Shoigu. – AFP, 5 Februari, 2019.
Komen