Facebook sekat 4 akaun pemberontak Myanmar


Tahun lalu, Facebook menyekat akaun sejumlah pelampau Buddah dan jeneral tertinggi Myanmar daripada menggunakan platform media itu. – Gambar EPA, 5 Februari, 2019.

FACEBOOK menyekat empat lagi akaun kumpulan pemberontak etnik Myanmar bagi menghalang aktiviti penyebaran sentimen kebencian, maklumat palsu dan fitnah.

Selama bertahun-tahun, syarikat gergasi media sosial itu dikritik kerana lewat bertindak untuk menyekat aktiviti tidak bermoral itu terutamanya penindasan terhadap etnik Islam Rohingya.

Bagaimanapun syarikat itu memulihkan reputasi pada tahun lalu apabila mengambil tindakan terhadap Myanmar yang mempunyai kira-kira 20 juta pengguna Facebook.

Empat kumpulan pemberontak yang dikenakan sekatan adalah Tentera Arakan (AA), Tentera Gabungan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kachin (KIA) dan Tentera Pembebasan Kebangsaan Taaung (TNLA).

“Kesemua kumpulan bersenjata ini diharamkan daripada Facebook dan semua pujian, sokongan dan perwakilan akan dipadam serta-merta dari Facebook,” kata laman sosial itu.

“Terdapat bukti jelas menunjukkan pertubuhan terbabit bertanggungjawab menyerang orang awam dan terlibat dalam keganasan di Myanmar.

“Kita mahu menghalang mereka menggunakan perkhidmatan kita untuk mencetuskan ketegangan.”

Tahun lalu, Facebook menyekat akaun sejumlah pelampau Buddah dan jeneral tertinggi Myanmar daripada menggunakan platform media itu.

Malah beratus-ratus akaun yang dikaitkan dengan tentera Myanmar turut dipadam pada Disember lalu. – AFP, 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen