BEKAS ahli Parlimen Belanda orang kuat kepada ahli politik anti-Islam Geert Wilders, Joram van Klaveren mendedahkan beliau telah bertukar agama dan memeluk agama Islam.
Selama tujuh tahun Van Klaveren berjuang di dewan rakyat negara itu untuk berkempen menentang Islam di Belanda mewakili Parti Kebebasan (PVV) yang diketuai Wilders.
Pada masa itu, bekas ahli Parlimen berusia 40 tahun itu berjuang untuk melaksanakan pengharaman burqa selain tidak mahu sebarang pengaruh Islam di Belanda.
Namun Van Klaveren berkata beliau bertukar fikiran untuk memeluk agama tersebut ketika sedang menulis buku tentang anti-Islam.
“Jika semua yang saya tulis itu adalah benar, dan saya percaya kepadanya, maka saya sebenarnya adalah seorang Islam,” katanya seperti dilaporkan media tempatan NRC.
Van Klaveren memeluk Islam pada Oktober tahun lalu, lapor NRC sambil menambah beliau akan menerbitkan buku bertajuk ‘Apostate: From Christianity to Islam in the Time of Secular Terror’ (Murtad: Dari Kristian kepada Islam pada Masa Kebimbangan Sekular.”
Van Klaveren adalah ahli Parlimen bagi part PVV dari 2010 hingga 2014, tetapi meninggalkan parti itu selepas Wilders dalam satu perhimpunan pada 2014 yang menyeru penyokong parti untuk memusuhi warga Maghribi di Belanda.
Pada 2016, Wilders didapati bersalah atas dakwaan diskriminasi.
Van Klaveren kemudiaannya menubuhkan parti sendiri dikenali Demi Belanda (VNL) tetapi meninggalkan dunia politik selepas parti itu gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya 2017. – AFP, 5 Februari, 2019.
Komen