SYARIKAT penerbangan Jerman, Germania memfailkan notis muflis dan membatalkan semua penerbangan dengan serta-merta.
Syarikat yang memiliki 37 pesawat dengan penerbangan utama ke pusat percutian di Mediterranean, Afrika Utara dan Timur Tengah itu mempunyai lebih empat juta penumpang setahun.
“Malangnya, kita gagal dalam usaha mengukuhkan kedudukan kewangan bagi memenuhi keperluan dalam jangka masa pendek,” kata Pengarah Urusan Germania Karsten Balke dalam satu kenyataan awal hari ini.
“Kita amat kesal dan akibatnya, kita tidak mempunyai pilihan selain memfailkan notis bankrap.”
Syarukat itu menyalahkan ‘pembangunan yang tidak dijangka’ seperti harga kerosin yang naik mendadak pada pertengahan tahun lalu selain kejatuhan nilai euro berbanding dolar Amerika Syarikat.
Selain itu syarikat tersebut perlu menanggung kos tinggi untuk perkhidmatan teknikal yang diperlukan oleh setiap pesawatnya.
Balke berkata beliau berasa kesal kerana keadaan itu turut menjejaskan setiap pekerja syarikat Germania yang berusaha keras untuk memastikan operasi syarikat terus kekal relevan.
“Saya berterima kasih kepada anda semua. Saya mohon maaf kepada penumpang yang tidak dapat meneruskan penerbangan seperti yang dijadualkan,” kata Balke.
Syarikat Germania yang dilaporkan mengalami kemelut kewangan pada Januari lalu, berkata pihaknya memfailkan notis muflis itu di sebuah mahkamah di Berlin lewat semalam dan semua penerbangan telah dihentikan.
Semua penumpang yang terjejas dimaklumkan agar menghubungi pengendali pakej pelancongan untuk mendapatkan menggantikan penerbangan mereka. – AFP, 5 Februari, 2019.
Komen