PARTI pembangkang berpakat dalam pilihan raya adalah kebiasaan politik Malaysia, kata Presiden MCA Wee Ka Siong merujuk kepada kerjasama Umno dan PAS untuk Pilihan Raya Kecil Semenyih akan datang.
Tambahnya, kerjasama sebegitu sudah banyak kali berlaku.
“Saya tak nampak ada masalah dalam pilihan raya kecil jika parti pembangkang bekerjasama,” katanya kepada wartawan di rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA hari ini.
Beliau turut memberikan contoh kerjasama yang pernah berlaku antara PAS, DAP dan PKR yang membentuk Pakatan Rakyat pada 2008 selepas PRU12.
“Dahulu, bekas pembangkang terima kerjasama dan pakatan. DAP dan PAS pun pernah bekerjasama dengan baik dahulu, jadi saya tak nampak bezanya (sekarang),” katanya lagi.
Wee bagaimanapun, menambah, yang kerjasama antara Umno dan PAS terhad kepada matlamat dan nilai dikongsi bersama parti BN.
MCA sebelum ini pernah menyuarakan bantahan kerjasama Umno dan PAS tanpa persetujuan semua parti komponen BN.
Kerjasama PAS dan Umno mencapai kemuncaknya di PRK Cameron Highlands, apabila ia membuahkan kemenangan kepada calon BN. PAS tidak bertanding pada PRK itu.
Untuk PRK Semenyih, PAS sekali lagi memberi peluang bertanding kepada Umno, dan akan membentuk kerjasama jentera pilihan raya untuk kawasan itu.
Hari ini, Wee turut mengumumkan yang MCA tidak akan meletakkan calon dan akan menyokong calon pembangkang, BN atau PAS yang bertanding.
Kerusi Semenyih kosong selepas kematian Adun Bakhtiar Mohd Nor (PH) pada 11 Januari lalu kerana serangan jantung.
Pada PRU14, Bakhtiar menewaskan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 8,964. Beliau meraih 23,428 undi.
PRK kali ini mungkin akan mempertembungkan BN, Gerakan dan PH. PAS pula mengumumkan akan bekerjasama dengan Umno.
Penamaan calon akan berlaku pada 16 Februari, pengundian awal pada 26 Februari dan pengundian pada 2 Mac. – 5 Februari, 2019.
Komen