Selepas maut berebut kupon makanan, Putrajaya kaji dasar perlindungan


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Putrajaya memandang serius tragedi dua wanita warga emas maut ketika berebut kupon makanan dan Putrajaya akan menggubal dasar perlindungan ke atas mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Februari, 2019.

PUTRAJAYA akan menggubal dasar menjaga kepentingan golongan rentan, terutama wanita dan orang tua, susulan tragedi terbaru apabila dua warga emas maut ketika berebut-rebut untuk mendapatkan kupon makanan percuma, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

“Kami mengambil serius kejadian yang berlaku baru-baru ini dan kerajaan sedang merangka dasar menjaga kepentingan bukan hanya wanita tetapi semua tanpa mengenal latar belakang,” katanya yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Tambahnya, kementerian juga sedar banyak badan bukan kerajaan (NGO) mahu membantu golongan rentan ini tetapi aspek keselamatan program perlu menjadikan keutamaan mereka.

“Kita perlu cari jalan memastikan usaha mulia ini berterusan, tetapi kita juga perlu pertimbangkan yang ada antara golongan dibantu sudah berusia.

 “Kita akan meneliti langkah untuk memastikan usaha mendekati dan membantu golongan ini dengan lebih baik,” katanya selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur hari ini.

Isnin lepas, media melaporkan dua wanita warga emas maut kerana dirempuh ketika hendak mendapatkan kupon makanan percuma di Pudu.

Penganjur hanya menyediakan 200 kupon, tetapi hampir seribu orang datang.

Dua mangsa maut itu dikenal pasti sebagai Ah Poh, 85, dan Law Ion Nang, 78.  – 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen