Hasrat terakhir banduan AS, imam teman jalani hukuman mati


Domineque Ray, 42, dijadualkan menerima hukuman suntikan maut kerana jenayah rogol dan bunuh memeluk Islam dalam penjara dan sedang memohon mahkamah membenarkan imam menemaninya menjalani hukuman. – Gambar AFP, 5 Februari, 2019.

SEORANG banduan hukuman mati di sebuah negeri konservatif AS, Alabama sedang mengejar masa memastikan hasrat terakhirnya dipenuhi: untuk seorang iman menjadi pendampingnya ke kamar mati Khamis ini.

Domineque Ray, 42, dijadualkan menerima hukuman suntikan maut selepas hampir 20 tahun dijatuhi hukuman mati pada 1995 kerana membunuh dan merogol seorang gadis 15 tahun di Selma.

Ray- yang juga disabitkan bersalah untuk dua lagi kes bunuh adik beradik lelaki sebelum itu- memeluk Islam sejak ditahan.

Peguamnya berkata, agama anak guamnya adalah “perkara paling penting” dalam hidupnya: menambah yang Ray juga menyimpan janggut dan memakai kopiah dalam penjaran.

Menjelang hukuman mati yang dijadualkan, Ray memohon pihak berkuasa penjara Alabama menunaikan hasrat terakhirnya.

Tetapi, pihak berkuasa berkata kebenaran itu akan melanggar protokol hukuman, yang membenarkan tahanan ditemani seorang penasihat kerohanian pilihan mereka sehingga ke pintu kamar mati- tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalam.

Undang-undang Alabama bagaimanapun membenarkan paderi hadir dalam kamar mati, tetapi paderi tersebut dianggap “ahli pasukan penjatuh hukuman”.

Ray memfailkan permohonan saat akhir Jumaat lepas, tetapi ditolak hakim.

Alabama “tidak boleh membenarkan sedikitpun campur tangan hukuman,” kata Hakim Keith Watkins dalam penghakimannya.

“Penasihat kerohanian Ray tidak terlatih, tidak berpengalaman dan di luar kawalan negeri.”

Peguam Ray sudah membuat rayuan dan berharap ia berjaya sebelum Khamis.

Mereka mendakwa Alabama menafikan hak kebebasan beragama, Hak Pertama Perlembagaan ke atas Ray.

“Alabama membenarkan banduan beragama Kristian untuk ditemani penasihat kerohanian dalam transisi kepada kehidupan selepas mati,” kata Hassan Shibly, peguam dan ahli Majlis Islam Amerika.

“Dengan memberikan kelebihan kepada Kristian dan menafikan hak agama pegangan warga lain, ia mencabuli Perlembagaan.”

20 negeri AS mempunyai protokol hukuman mati tersendiri, menurut Robert Dunham, pengarah eksekutif Pusat Maklumat Hukuman Mati.

Dalam kebanyakan kes, tahanan boleh meminta seseorang menemani mereka sehingga ke pintu kamar, jadi menolak permohonan Ray ada asasnya.

Tetapi, menurut Dunham lagi, Alabama “menghendaki seorang paderi Kristian dalam kamar hukuman. Tidak ada negeri lain setahu saya yang menjadikan hukuman mati sebuah majlis agama Kristian,” kata Dunham. – AFP, 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen