BAKAL perokok di Hawaii, AS mungkin terpaksa menunggu sangat lama untuk melepasi had umur merokok, selepas seorang wakil rakyat membentangkan rang undang-undang yang akan mengharamkan jualan rokok kepada sesiapa di bawah 100 tahun.
Undang-undang itu dicadangkan oleh wakil Demokrat, Richard Creagan yang serta merta akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok menjelang 2024.
Hawaii sudahpun mempunyai undang-undang anti rokok antara yang terketat di AS tetapi Creagan -seorang doktor kecemasan- percaya lebih banyak perlu dilakukan untuk mengharamkan “artifak paling membunuh dalam sejarah manusia” menurut rang undang-undang itu.
“Dasarnya, kita ada sekumpulan yang sangat ketagih- pada pandangan saya, diperhambakan oleh industri jahat ini- yang memperhambakan mereka dengan mereka rokok yang sangat ketagihan mengetahui sepenuhnya ia sangat beracun. Dan, ia memang beracun,” katanya kepada akhbar Hawaii Tribune-Herald.
Menurut undang-undang semasa, untuk membeli rokok di Hawaii, anda perlu berusia atas 21 tahun. Tetapi, di seluruh AS, had umur minimum adalah 18 atau 19 tahun.
Cadangan dikemukakan Creagan adalah menaikkan had umur membeli rokok kepada 30 tahun pada tahun depan, 40 pada 2021, 50 pada 2022 dan 60 pada 2023. Menjelang 2024, had umur minimum membeli rokok adalah 100 tahun.
Katanya, rang undang-undang itu dibentuk untuk berdepan sebarang cabaran perundangan.
“Negara bertanggungjawab melindungi kesihatan awam,” kata Creagan yang turut mengaku pernah menghisap rokok ketika belajar.
“Kita tak benarkan akses percuma kepada sebarang dadah terkawal misalnya,” tambahnya.
“Sedangkan ini (rokok) adalah jauh lebih beracun, lebih merbahaya daripada mana-mana dadah terkawal dan lebih ketagihan.”
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, rokok adalah punca utama penyakit boleh elak dan kematian di AS, hampir setengah juta kematian setiap tahun. – AFP, 5 Februari, 2019.
Komen