MCA tak bertanding PRK Semenyih, akan sokong calon pembangkang


Timothy Achariam

Presiden MCA Wee Ka Siong (tengah) bersama-sama Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan (kanan) pada sambutan Tahun Baharu Cina MCA hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Februari, 2019.

MCA mengesahkan tidak akan meletak calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, dan akan menyokong mana-mana calon pembangkang sama ada daripada Umno atau PAS, kata Presiden Wee Ka Siong.

“Hanya ada 16% pengundi Cina di sana. Tradisinya, ia bukan kerusi kita dan pendirian MCA sekarang adalah kita tak akan letak calon,” katanya kepada The Malaysian Insight pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA hari ini.

Baru-baru ini, sebuah lagi parti majoriti Cina, Gerakan mengumumkan kemungkinan akan bertanding di PRK Semenyih.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata ia adalah untuk mengetahui penerimaan rakyat terhadap Gerakan selepas mereka meninggalkan Barisan Nasional selepas kekalahan mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Terpulang kepada Gerakan jika mereka hendak hantar calon,” kata Wee mengulas hasrat Gerakan itu.

“Kami serahkan kepada parti pembangkang lain (sama ada) untuk hantar calon (bertanding).”

Kerusi Semenyih kosong selepas kematian Adun Bakhtiar Mohd Nor (PH) pada 11 Januari lalu kerana serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar menewaskan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 8,964. Beliau meraih 23,428 undi.

PRK kali ini mungkin akan mempertembungkan BN, Gerakan dan PH. PAS pula mengumumkan akan bekerjasama dengan Umno. 

Penamaan calon akan berlaku pada 16 Februari, pengundian awal pada 26 Februari dan pengundian pada 2 Mac. – 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen