Tujuh terbunuh dalam sebuah kebakaran bangunan di kawasan kejiranan mewah Paris pada malam Isnin, kata bomba.
Kebakaran itu yang berlaku di sebuah bangunan lapan tingkat di kawasan mewah Perancis, 16th arrondissement juga menyebabkan 24 orang termasuk dua anggota bomba cedera ringan. Angka kematian dan cedera dijangka terus meningkat.
Ada antara mereka yang terpaksa melarikan diri ke bahagian bumbung untuk melepaskan diri daripada api dan asap tebal, sebelum diselematkan pasukan bomba.
Dengan mercu tanda termasuk Trocadero yang berdepan Menara Eiffel, stadium utama Paris Saint-German di Parc des Princes, Bois de Bologne serta puluhan kedai dan restoran terkenal, kawasan itu adalah tumpuan pelancong.
Jurucakap bomba, Clement Cognon memberitahu AFP: “Kami terpaksa menjalankan banyak kerja menyelamat, termasuk sebahagian mangsa yang berselindung di bumbung.”
Pada jam 3.30 pagi waktu tempatan, pasukan bomba sudah habis memindahkan semua mangsa di Erlanger Street tetapi masih berusaha memadam kebakaran. Beberapa bangunan berhampiran turut dikosongkan.
Pada awal pagi Selasa, sekitar 200 anggota bomba berada di tempat kejadian, memadam kebakaran dan merawat mangsa cedera. – AFP, 5 Februari, 2019.
Komen