JUMLAH kematian insiden empangan runtuh di lombong di tenggara Brazil meningkat kepada 134 selepas lebih seminggu operasi mencari dan menyelamat dijalankan, dengan 199 masih hilang, kata pihak berkuasa.
Angka itu menunjukkan semakin banyak mayat ditemui selepas insiden berlaku pada 25 Januari, di lombong besar milik Brazil di Vale, berhampiran bandar Brumadinho.
Mereka yang disenaraikan sebagai hilang dianggap meninggal dunia, tetapi masih tidak dapat dikesan susulan lapisan lumpur di lombong itu. Hampir semua mangsa pekerja di lombong.
Jurucakap bomba berkata tidak semua mayat akan dikesan dan dikeluarkan.
“Mayat itu menjadi reput dan mustahil untuk dibawa keluar. Tetapi kami akan terus melakukan kerja mencari pada masa ini,” katanya.
Insiden itu berlaku tiga tahun selepas tragedi hampir sama berlaku di lombong lain di wilayah itu.
Insiden pada 2015 itu berhampiran bandar Mariana, hanya menyebabkan 19 kematian tetapi dianggap bencana alam sekitar terburuk Brazil kerana sisa perlombongan merosakkan keseluruhan ekosistem sepanjang ratusan kilometer laluan air.
Presiden Jair Bolsonaro dalam satu kenyataan dibacakan kepada Kongres selepas beliau menjalani pembedahan di hospital berkata peraturan berlebihan terhadap industri perlombongan Brazil antara punca empangan di Brumadinho runtuh. – AFP, 5 Februari, 2019.
Komen