Malaysia masih popular di kalangan pelancong China, kata Putrajaya


Noel Achariam

Jabatan Imigresen mencatat peningkatan 31.3% ketibaan pelancong China tahun ini untuk tempoh Tahun Baharu Cina berbanding 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Februari, 2019.

TIDAK ada penurunan berhubung jumlah ketibaan pelancong China ke Malaysia, kata Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik, menafikan dakwaan agensi pelancongan tempatan bahawa wujud 15% penurunan tempahan perkhidmatan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Bakhtiar memberitahu The Malaysian Insight bahawa Jabatan Imigresen mencatat peningkatan 31.3% ketibaan pelancong China tahun ini untuk tempoh Tahun Baharu Cina berbanding 2018.

“Semakin ramai pelancong dari China sebagai ‘Pengembara Bebas’ (FIT), mereka tidak menggunakan agensi perjalanan, mereka menggunakan lawatan peribadi atau perjalanan sendiri,” kata Bakhtiar.

“Ini menjadi trend yang semakin meningkat seperti yang turut dikatakan TripAdvisor,” katanya, merujuk kepada syarikat laman web pelancongan dan restoran yang memaparkan ulasan hotel dan restoran, tempahan penginapan dan kandungan lain yang berkaitan dengan percutian atau kembara.

“Jika pemain industri mengatakan ada penurunan maka boleh jadi lebih banyak yang menjadi FIT.”

Agensi-agensi pelancongan tempatan mengatakan bahawa pelancong China menghindari Malaysia kerana banyak faktor, termasuk perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kekurangan promosi pelancongan, terutamanya semasa cuti Tahun Baharu Cina.

Mereka juga mengadu selepas mendapati penurunan tempahan khidmat pelancongan sebanyak 15%.

Para pemain industri turut mengatakan tempahan di bawah agensi pelancongan berkurang antara 8% dan 15% tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Chik, menafikan dakwaan wujud 15% penurunan tempahan perkhidmatan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. – Gambar Facebook, 5 Februari, 2019.

Mereka berkata perkara itu berpunca daripada komen-komen “sensitif” terhadap China selepas perubahan kerajaan dalam PRU14, kekurangan perjalanan bebas visa, kurang promosi di China dan ekonomi negara itu yang kini perlahan ekoran perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

Bagaimanapun, Bakhtiar menolak dakwaan tersebut.

Beliau berkata terdapat tiga juta ketibaan pelancong dari China pada 2018 berbanding 2.4 juta pada 2017.

“Terdapat peningkatan yang mantap selama beberapa tahun ini. Menurut data dari Jabatan Imigresen terdapat lebih daripada 30% peningkatan ketibaan pelawat China.

“Ini menunjukkan tiada penurunan dalam ketibaan pelancong China, ia tidak benar,” katanya, menambah bahawa pelancong muda lebih gemar memilih menggunakan banyak aplikasi perjalanan yang ada pada masa ini.

Bakhtiar berkata Malaysia kini sedang mencari platform pemasaran digital untuk menyasarkan pelancong yang lebih mewah.

Menurut data Jabatan Imigresen, terdapat peningkatan 29% (1.28 juta) ketibaan pelancong China dari Jun hingga Oktober 2018.

Dalam tempoh yang sama pada 2017, Jabatan Imigresen merekodkan ketibaan sebanyak 990,000.

Mengenai pengenepian visa pelancong terhadap China, Bakhtiar berkata pihaknya menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri bulan lepas.

“Kami sedang bekerjasama dengan mereka untuk pertimbang bagi melonggarkan peraturan visa supaya kita dapat bersaing dalam pasaran Asean.” – 5 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen