Golongan muda perlu mengundi demi masa depan Malaysia, kata Bersih 2.0


Yasmin Ramlan

TIADA alasan untuk anak muda tidak mendaftarkan diri sebagai mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.

Menurut Pengerusinya Maria Chin Abdullah dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight berkata, meskipun isu seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan lebih menjadi keutamaan mereka, namun mereka sepatutnya menterjemahkan ketidakpuasan hati mereka itu kepada undi supaya suara mereka didengari.

“Sememangnya kita prihatin mengenai isu itu, tetapi kita perlu tahu bahawa ia satu yang normal bagi anak muda apabila mereka keluar tamatkan pengajian dari univeristi, akan fikir untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan memikirkan bagaimana untuk menyara kehidupan mereka.

“Saya rasa itu isu yang biasa di kalangan mereka tetapi bagaimanapun, kita mengharapkan mereka juga memikirkan mengenai isu yang lebih besar lagi tentang apa yang berlaku di negara ini,” katanya.

Menurut pemerhati politik dari Ilham Centre Hisomuddin Bakar, mendapatkan kerja yang baik dan menghadapi kenaikan kos sara hidup tinggi adalah isu yang lebih menghantui pengundi muda.

Bagi Maria, alasan seperti anak muda tidak tahu atau tidak ambil peduli mengenai hal isu semasa, kecewa, dan berputus asa dengan senario politik hari ini bukanlah satu pilihan yang terbaik untuk mengecualikan diri sebagai pengundi.

“Kita dilahirkan di sini (Malaysia) dan kita ada peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk menentukan nasib negara kita – apa yang kita mahukan. Jadi jika anda (anak muda) kata anda kecewa, ya, semua orang kecewa tapi tunjukkan kekecewaan anda itu dengan cara yang positif, iaitu dengan mengundi.

“Itu langkah yang positif kerana jika anda asyik merungut dan tidak tidak berbuat apa-apa, tiada apa akan berubah,” katanya.

Maria berkata antara usaha yang dilakukan rakyat Malaysia dalam menyuarakan pandangan mereka adalah melalui perhimpunan aman seperti Bersih, dan Maria menyifatkan mereka ini adalah golongan yang kecewa tetapi berusaha untuk melakukan sesuatu untuk negara.

“Jadi, ini adalah satu kuasa dan kekuatan yang kita ada (sebagai pengundi) dan kita tidak sepatutnya berputus asa,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan terdapat 3.8 juta rakyat, kebanyakannya berumur 21 tahun, yang masih belum mendaftar sebagai pengundi setakat 31 Mac di Dewan Rakyat bulan lalu

Kajian Institute Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini menunjukkan kebanyakan pengundi yang “belum membuat keputusan mahu mengundi parti mana” terdiri daripada kumpulan umur antara 21 hingga 30.

Kaji selidik itu mendapati 50% responden sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka pilih, manakala 22% akan membuat keputusan selepas penamaan calon, 9% seminggu sebelum pengundian dan 19% pada hari pengundian.

Kajian itu juga mendapati kelompok pengundi muda yang berumur antara 21 hingga 30 tahun rata-rata masih belum menentukan parti mana akan mereka undi.

Anak muda yang baru tamat pengajian perlu mula memikirkan kaedah terbaik meluahkan kekecewaan mereka iaitu melalui pengundian. – Gambar fail The Malaysian Insight , 1 September, 2017.

Kempen daftar undi demi kuasa pengundi

Menurut Maria, untuk memberi kesedaran kepada pengundi yang tidak mendaftarkan diri terutamanya anak muda, Bersih telah memulakan kempen daftar undi pada Mac tahun ini.

“Ini adalah salah satu usaha dan sumbangan kami untuk memastikan semua orang melibatkan diri dalam proses pilihanraya ini walaupun pelbagai rintangan yang dilakukan SPR dalam proses pendaftaran ini. Tetapi kami masih ingin galakkan orang ramai mendaftar,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 5,000 orang rakyat Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak yang layak mengundi hadir ke kempen tersebut.

Katanya, sangat penting bagi mereka yang layak mengundi untuk berdaftar kerana dia berkata setiap undi itu dapat menentukan nasib negara ini serta polisi yang mereka mahukan untuk memastikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik.

Maria berkata, buktinya dapat dilihat pada PRU12 pada 2008 dan PRU13 pada 2013 yang menyaksikan kuasa di tangan rakyat.

“Pada 2008, selepas 51 tahun, kita menghalang Barisan Nasional (BN) mendapat dua pertiga majoriti. Itulah kuasa rakyat.

“Pada 2013 pula, kita tunjukkan kuasa kita sekali lagi apabila menghalang BN mendapat dua pertiga majoriti serta mengurangkan majoriti BN dalam Parlimen.

Katanya, sangat penting mempunyai pihak pembangkang yang kukuh dalam Parlimen kerana rakyat mahukan dasar yang baik diluluskan dalam Parlimen.

Undi adalah kuasa rakyat untuk mendapatkan kerajaan yang lebih baik. – Gambar EPA, 1 September, 2017.

“Jadi dengan adanya pihak pembangkang yang kuat, ia akan memperlihatkan semak dan imbang dalam kerajaan. Dan dengan cara itu kita dapat menterjemahkan kuasa kita melalui undi.

“Sebab itulah Bersih memulakan kempen daftar undi ini dan kami berharap lebih ramai orang datang mendaftarkan diri ke pejabat SPR, pejabat pos dan UTC (pusat transformasi bandar),” katanya.

Tambahnya, beliau menganggarkan sekiranya PRU14 diadakan tahun depan, maka bulan terakhir untuk berdaftar adalah pada September.

Perbalahan antara parti politik bukan alasan tidak mengundi

Maria berkata, perbalahan atau perpecahan antara parti politik dan ahli politik akan sentiasa terjadi dan sebagai rakyat, tugas mereka adalah untuk keluar mengundi dan menyuarakan pandagan melalui undi mereka.

“NGO seperti Bersih tiada hak untuk komen mengenai masalah dalaman mereka. Tetapi apa yang paling penting adalah kita perlu lihat diri kita sebagai pengundi kerana jika kita putus asa hanya kerana perbalahan dalaman sesama parti politik, ia akan sentiasa berlaku.

Jika kita kecewa dengan prestasi kerajaan, ia akan berlaku juga. Namun sebagai pengundi, kita perlu katakan kita tidak mahu ia terjadi,” katanya. – 1 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen