Indonesia, Filipina bekerjasama cari penyerang bunuh diri gereja


Pengeboman gereja di Filipina membuat polis Indonesia dan Filipina bekerjasama kerana memiliki kes serupa di samping dakwaan ia dilakukan oleh warga Indonesia. – Gambar EPA , 4 Februari, 2019.

PIHAK berkuasa Indonesia dan Filipina telah menyelaraskan usaha untuk mencari pelaku serangan bunuh diri di sebuah gereja Roman Katolik di selatan Filipina pada 27 Jan yang meragut 22 nyawa serta mencederakan 100 orang lagi, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang menteri Indonesia pada Isnin.

Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, Jeneral Wiranto berkata agensi antikeganasan dan kementerian luar negara itu akan menghantar anggotanya ke Filipina.

“Kita tunggu, agensi terbabit serta kementerian luar sedang menyiasat kes itu dan akan menghantar kakitangannya ke lokasi kejadian,” kata Wiranto di pejabatnya.

Mengulas dakwaan Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Eduardo Ano, bahawa sepasang rakyat Indonesia menjadi dalang pengeboman berkembar itu, Wiranto berkata adalah terlalu awal untuk melontarkan tuduhan sedemikian kerana siasatan sedang dilakukan oleh pihak Filipina bagi mengenal pasti identiti pengebom terbabit.

Wiranto mencadangkan agar semua pihak menunggu hasil siasatan berhubung kerakyatan pelaku.

“Pihak berkuasa Filipina sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti pelaku. Masih terdapat banyak kemungkinan, tolong jangan terburu-buru dalam menentukan bahawa pengebom terbabit adalah warganegara Indonesia,” kata Wiranto.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir dalam satu kenyataan pada 1 Feb menyebut bahawa berdasarkan maklumat yang diterima daripada Polis Kebangsaan Filipina dan Pusat Pemerintah Tentera Mindanao Barat, kerakyatan pengebom terbabit belum dikenal pasti. – Bernama, 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen