Sri Lanka tolak lepaskan sami Buddha dari penjara


Galagodaatte Gnanasara didakwa menyebarkan kebencian antara kaum dan agama di Sri Lanka. – Gambar AFP, 4 Februari, 2019.

PRESIDEN Sri Lanka menolak gesaan dari pimpinan Buddha pulau itu untuk melepaskan seorang sami yang yang dipenjara pada hari Isnin, ketika 518 pesalah lain dibebaskan sempena Hari Kemerdekaan negara pulau tersebut.

Galagodaatte Gnanasara dituduh mencetuskan kebencian terhadap kaum minoriti Muslim dalam majoriti Buddha di Sri Lanka.

Sejak Disember lalu, beliau menjalani hukuman penjara ekoran tingkah lakunya yang sering mengganggu perjalanan mahkamah di samping menakut-nakutkan pegawai wanita.

Hierarki Buddha Sri Lanka mendesak Presiden Maithripala Sirisena untuk memberikan pengampunan sempena hari kemerdekaan tetapi desakan tersebut tetap ditolak pihak kerajaan.

“Pengampunan Hari Kemerdekaan terpakai bagi mereka yang dipenjarakan dalam tempoh masa yang singkat dan hanya mereka yang disabitkan kesalahan kecil,” kata jurucakap penjara Thusahra Upuldeniya.

Sebuah persatuan peguam turut memberi amaran bahawa tindakan melepaskan Gnanasara akan menjadi pertikaian kehakiman.

Sami itu menafikan penglibatannya dalam rusuhan anti-Islam pada 2014 yang mengorbankan empat orang.

Gnanasara mengekalkan hubungan rapat dengan Wirathu, seorang sami ekstremis yang berpengkalan di Myanmar, ucapan kebenciannya telah menimbulkan ketegangan agama di negara asia tenggara itu.

Wirathu melawat Sri Lanka sebagai tetamu Gnanasara sejurus selepas keganasan 2014 dan kedua-duanya bersumpah untuk melawan apa yang mereka sebut sebagai ancaman kepada Buddhisme berikutan kempen jihad Islam. – AFP, 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen