SEORANG lelaki bersenjata telah membunuh pengurus pelabuhan Bossasso, di negeri separuh autonomi di Somalia, Puntland, kata seorang pegawai keselamatan tempatan, berhubung serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan islamis Al-Shabaab.
“Seorang lelaki bersenjata menembak dan membunuh Paul Anthony Formosa yang merupakan pengurus projek pembinaan DP World. Beliau terbunuh di pelabuhan dan pasukan keselamatan turut menembak pembunuh di tempat kejadian,” kata pegawai, Mohamed Dahir, kepada AFP.
Formosa, seorang warga Malta, adalah pengurus di Bossasso untuk P&O Ports, anak syarikat DP World yang berpangkalan di Dubai. Menurut profilnya di LinkedIn, beliau telah menjadi pengurus sejak Ogos 2017.
Seorang saksi, Abdukadir Weheliye, berkata beliau mendengar beberapa tembakan yang datang dari dalam pelabuhan dan kemudian melihat mayat seorang lelaki kulit putih dibawa ke dalam ambulans.
Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu dalam satu kenyataan.
“Serangan itu adalah sebahagian daripada operasi lebih besar yang mensasarkan syarikat-syarikat ketenteraan yang menjarah sumber-sumber asli Somalia,” katanya.
Anak syarikat DP World menandatangani kontrak konsesi selama 30 tahun untuk pengurusan dan pembangunan pelabuhan tersebut, yang terletak secara strategik di Teluk Aden, antara Laut Merah dan Lautan Hindi, lebih dari 1,300 kilometer di utara Mogadishu. – AFP, 4 Februari, 2019.
Komen