Campur tangan ketenteraan di Venezuela ‘satu pilihan’, kata Trump


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata campur tangan ketenteraan di Venezuela adalah “satu pilihan” selepas Washington mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai presiden sementara negara itu bulan lepas, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Saya tidak mahu mengatakannya begitu. Bagaimanapun, sudah tentu ia merupakan satu pilihan,” kata Trump kepada Margaret Brennan dalam program bual bicara CBS “Face the Nation.”

Kenyataan beliau dibuat sebagai respons kepada soalan berkaitan keselamatan negara AS dan sama ada Washington akan campur tangan di negara Amerika Latin itu.

Trump juga berkata beliau telah menolak permintaan Presiden Venezuela Nicolas Maduro untuk mengadakan pertemuan “beberapa bulan lepas,” dan menyatakan bahawa AS sudah lama terlibat dalam proses menjalin usaha sama dengan Guaido, yang merupakan presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan negara itu.

“Saya telah memutuskan pada masa itu untuk tidak bertemu beliau kerana begitu banyak perkara buruk yang sedang berlaku di Venezuela apabila anda melihat negara tersebut. Negara itu adalah yang terkaya di rantau tersebut. Dan kini anda melihat kemiskinan, penderitaan dan jenayah berleluasa serta semua perkara buruk lain yang berlaku di negara itu,” kata Trump.

Ketegangan tercetus di Venezuela pada 23 Januari apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara susulan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara.

AS, Kanada dan kebanyakan negara Amerika Latin telah mengiktiraf Guaido sebagai pemimpin sah Venezuela namun Maduro setakat ini enggan berundur.

AS telah mengetuai satu kempen antarabangsa untuk mengenakan tekanan ekonomi dan diplomatik ke atas Maduro, termasuk sekatan terhadap syarikat minyak milik Venezuela dan usaha sama negara itu dengan Nicaragua. 

Ia turut memberi amaran tentang kesan serius yang bakal dihadapi Venezuela jika Guaido diapa-apakan.

Maduro pada Sabtu mencadangkan agar pilihan raya awal diadakan bagi memilih ahli Dewan Perhimpunan Kebangsaan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 2020. – Bernama, 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen