BEKAS ketua polis negara Abdul Rahim Noor bingung dengan keengganan wakil Thailand Jeneral Udomchai Thammasarorat untuk mengadakan mesyuarat dengan puak pemisah selatan Thailand dalam usaha mencapai keamanan di wilayah itu.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Rahim berkata Udomchai hanya mahu mengadakan pertemuan dengan Shukri Hari yang dilantik mengetuai delegasi daripada Majlis Syura Patani (Mara Patani).
“Saya bingung dengan sikapnya. Ini sangat pelik. Dia hanya mahu jumpa Shukri Hari sedangkan sebelum ini kedua-dua pihak bersetuju bertemu dalam mesyuarat tertutup di Kuala Lumpur,” katanya.
“Udomchai kata dia akan hanya jumpa Shukri dan pasukannya akan bertemu dengan pemisah selatan Thailand. Sudah tentu pemisah selatan Thailand tidak bersetuju dengan perancangan itu.”
Udomchai dilantik oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha pada Oktober untuk mengetuai rundingan damai, menggantikan perunding lama Jeneral Aksara Kerdphol.
Rahim berkata sebagai ketua panel dari Thailand, Udomchai perlu bertemu dengan semua delegasi.
“Kedua-dua pihak sudah datang ke sini dan dia sebagai ketua delegasi Thailand, jadi dia patut lebih tahu,” kata Rahim.
“Mesyuarat yang sepatutnya diadakan semalam pada 9.30 pagi tidak dapat berlangsung. Thailand sudah balik. Shukri Hari beritahu saya beliau juga keliru dengan keputusam Udomchai. Mungkin dia buat keputusan ketika dalam penerbangan ke mari.”
Ditanya bila mesyuarat akan datang diadakan, Rahim berkata beliau tidak tanya pun kepada Udomchai soalan itu.
“Saya tidak tanya dia. Mungkin selepas Tahun Baharu Cina atau mungkin selepas pilihan raya umum mereka, saya tidak tahu,” katanya.
Rahim yang mengatur mesyuarat pengenalan itu yang sepatutnya berlangsung semalam. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik Rahim sebagai fasilitator Malaysia bagi rundingan itu.
Sejak konflik itu tercetus pada 2001, empat wilayah di selatan Thailand, iaitu di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, lebih 6,500 orang terkorban.
Pelbagai laporan menyatakan konflik di selatan Thailand bermula pada 1948 sebagai kebangkitan pemisah agama dan kaum dalam Wilayah Patani Melayu. – 4 Februari, 2019.
Komen