PEMBUNUHAN seorang penulis di kawasan awam di bandar suci Syiah, Karbala pada hujung minggu lepas mencetuskan bantahan kumpulan kebudayaan Iraq.
Polis berkata beberapa das tembakan dilepaskan kepada Alaa Mashzoub di depan rumahnya pada Sabtu.
Dalam petunjuk betapa kes bunuh itu penuh sensitif dalam negara pasca perang itu, polis serta merta menugaskan sekumpulan pegawai kanan untuk menyiasat dan berjanji akan menangkap pembunuhnya.
“Ini adalah pembunuhan kata-kata- yang bebas, jujur dan indah,” kata penulis Ali Lefta kepada AFP mengulas pembunuhan itu.
Pada Ahad, intelektual dan artis dari Karbala, hampir 100km dari Baghdad membuat bantahan terbuka.
Ahmed Saadawi- yang novelnya Frankenstein in Baghdad mendapat sambutan seluruh dunia- turut mengecam pembunuhan itu di Facebook.
“Anda pengecut kerana melepaskan tembakan kepada seseorang yang hanya ada kata-kata dan impian,” tulisnya.
Mashzoub dikenali ramai di Karbala, dan sering menggunakan bandar itu dalam karyanya.
Jawatankuasa Kebudayaan Parlimen berkata ia akan memantau siasatan polis berkaitan kes bunuh itu.
Tetapi, tiada sesiapa yang dapat membayangkan siapakah sebenarnya dalang kes itu, dalam negara yang berdekad lamanya terheret ke kancah perang.
Pada musim panas lepas, empat kes bunuh berprofil tinggi- termasuklah model dan personaliti media sosial Tara Fares yang pembunuhannya berjaya dirakam kamera- mencetuskan kemarahan awam.
Siasatan rasmi ke atas pembunuhan itu gagal menghasilkan keputusan atau masih belum mengumumkan hasil siasatan. – AFP, 4 Februari, 2019.
Komen