SEORANG pemain bola sepak pelarian yang kini sedang melawan permohonan ekstradisi ke atasnya hari ini berkata, “tolong, jangan hantar saya balik ke Bahrain”, ketika dia tiba dengan bergari tangan dan kaki di sebuah mahkamah Bangkok yang melanjutkan tahanannya selama dua bulan lagi.
Hakeem al-Araibi, seorang pelarian Bahrain dan penduduk tetap Australia, bimbang akan disiksa sehingga mati sekiranya kembali ke negara asalnya.
Araibi yang ditahan Thailand sejak November lepas, susulan permohonan ekstradisi Bahrain tiba di mahkamah bergari tangan dan kaki, dan merayu kepada wartawan dan pegawai bola sepak untuk membebaskannya.
“Tolong, jangan hantar saya ke Bahrain,” katanya, ketika beberapa pemain bola sepak terkenal Australia termasuk bekas kapten pasukan kebangsaan Craig Foster tampil memberi sokongan kepada pemain itu.
Araibi ditahan di Lapangan Terbang Bangkok pada November lepas ketika tiba untuk bercuti dan sudah berada dalam tahanan negara itu sementara menanti keputusan mahkamah sama ada akan menghantar balik ke negara Teluk itu.
Mahkamah berkata Araibi diberikan tempoh 60 hari “untuk membantah permohonan ekstradisi” dan perlu membentangkan kesnya pada April ketika mahkamah kembali bersidang.
Selain Foster yang mengepalai usaha mendesak pembebasan Araibi, Perdana Menteri Australia Scott Morrison turut menggesa rakan sejawat Thailandnya untuk membebaskan pemain berusia 25 tahun itu, berkata memulangkan Araibi ke Bahrain akan mencabuli haknya yang termaktub dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Araibi bermain untuk pasukan belia Bahrain sebelum melarikan diri dan mendapat perlindungan di Australia, di mana dia bermain untuk pasukan separa profesional Pascoe Vale FC.
Wakil Kedutaan Australia serta pegawai Fifa, Federico Addiechi turut menghadiri perbicaraan itu.
Araibi disabitkan bersalah dalam absentia kerana didakwa merosakkan sebuah balai polis di Bahrain, tetapi menurutnya ketika kejadia dia mewakili negaranya bermain bola sepak di luar negara.
Pemain itu berkata, dia jadi sasaran kerana pernah mengecam Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa, seorang ahli keluarga diraja Bahrain.
Seorang pegawai Bahrain pada bulan lepas berkata Araibi “mempunyai semua hak dan peluang untuk mempertahankan dirinya” dalam kes jenayah terhadapnya, dan boleh merayu jika sabit kesalahan. – AFP, 4 Februari, 2019.
Komen