KOREA Selatan akan mula melobi untuk mengadakan pertemuan antara Presiden Moon Jae In dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un selepas cuti Tahun Baharu Lunar bagi membantu ikrar pembasmian senjata nuklear Korea Utara yang mungkin diperhalusi pada sidang kemuncak Amerika Syarikat (AS)-Korea Utara, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan para pemerhati pada Isnin.
Pertemuan Moon dan Kim, jika berlangsung, akan menjadi yang keempat sejak kedua-dua pemimpin bertemu buat kali pertama pada April 2018 di sempadan perkampungan Panmunjom dalam Zon Bebas Tentera yang dikelilingi kubu.
Mereka bertemu lagi pada bulan Mei dan September.
“Satu pertemuan antara Korea akan menjadi langkah seterusnya susulan sidang kemuncak kedua Korea Utara-AS,” kata seorang pegawai dari pejabat presiden di Seoul, Cheong Wa Dae, yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Presiden AS Donald Trump telah menyatakan bahawa pertemuan beliau dengan Kim mungkin berlangsung sebelum akhir bulan ini manakala Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata sidang kemuncak kedua Trump-Kim akan diadakan di Asia.
Tarikh dan venue sebenar pertemuan dijangka diumumkan awal minggu ini.
Pertemuan pertama Trump-Kim berlangsung di Singapura pada Jun, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk membasmi senjata nuklear Korea Utara sepenuhnya sebagai pertukaran bagi jaminan keselamatan untuk Pyongyang.
Seoul percaya sidang kemuncak kedua AS-Korea Utara akan menetapkan butiran lanjut berhubung proses pembasmian senjata nuklear itu, yang mungkin membabitkan garis masa bagi setiap langkah pembasmian yang sepatutnya dilakukan oleh negara komunis tersebut, bersama-sama langkah sepadan oleh AS.
“Saya percaya mereka akan mula menyelaras topik bagi sidang kemuncak itu bagi merangka satu deklarasi bersama (daripada Trump dan Kim),” kata Suh Hoon, ketua Perkhidmatan Perisikan Nasional, yang mencadangkan kemungkinan satu perjanjian pembasmian senjata nuklear baharu atau yang telah diperhalusi antara AS dan Korea Utara.
Moon telah berulang kali berikrar untuk melakukan usaha bagi membantu memastikan kejayaan rundingan pembasmian senjata nuklear antara AS dan Korea Utara, sebahagiannya menerusi pertemuan beliau sendiri dengan pemimpin Korea Utara yang reklusif itu.
Seorang lagi pegawai, Cheong Wa Dae berkata tiada sebarang tarikh atau tempat ditetapkan bagi pertemuan keempat antara Moon dan Kim namun ia akan mula melobi perkara itu sejurus selepas Tahun Baharu Lunar, cuti tradisional yang disambut oleh kedua-dua Korea setelah sidang kemuncak kedua AS-Korea Utara berlangsung.
“Ia mungkin diadakan selepas sidang kemuncak kedua Korea Utara-AS, namun ia pasti akan membantu menggerakkan proses pembasmian senjata nuklear jika diadakan,” kata seorang lagi pegawai yang enggan dikenali.
Apa yang unik tentang pertemuan seterusnya antara Moon dan Kim ialah ia mungkin berlangsung di Seoul, yang bakal menjadikan Kim pemimpin Korea Utara pertama berkunjung ke ibu kota Korea Selatan sekurang-kurangnya selepas Perang Korea 1950-1953 berakhir.
Kim setuju berkunjung ke Seoul pada pertemuan ketiga dan terakhir beliau dengan Moon yang berlangsung di Pyongyang.
Pertemuan keempat antara Moon dan Kim pada asalnya ditetapkan untuk diadakan pada tahun lepas.
Dalam sepucuk surat kepada Moon pada akhir tahun lepas, pemimpin Korea Utara itu mengesahkan kesediaan beliau untuk membasmi senjata nuklear di Semenanjung Korea dan melakukan kunjungan balas ke Korea Selatan, kata Moon sebelum ini. – Bernama, 4 Februari, 2019.
Komen