TENTERA Australia dikerahkan membantu menangani situasi banjir yang berlaku sekali dalam satu abad yang menjejaskan rumah, sekolah dan lapangan terbang di timur laut negara, memaksa ratusan penduduk menyelamatkan diri dan menyebabkan buaya naik ke darat.
Angkatan Pertahanan Australia mengisi beg pasir, mengerahkan kenderaan kargo amfibia dan membantu penduduk di Queensland.
Kawasan utara Australia biasanya mengalami hujan lebat semasa musim tengkujuh, namun hujan lebat baru-baru ini melebihi paras biasa.
Pihak berkuasa terpaksa membuka pintu air pada petang Ahad, melepaskan apa yang mereka sebut sebagai “aliran berbahaya dan deras.”
“Kami tidak pernah melihat air sebanyak itu sepanjang hidup kami,” kata wartawan radio tempatan, Gabi Elgood. “Anda fikir tidak mungkin ada lagi tetapi hujan tidak berhenti.”
Para penduduk bukan sahaja terpaksa berdepan banjir kilat, tanah runtuh dan bekalan tenaga yang terputus, tetapi juga pemangsa reptilia yang dilihat berada di jalan raya kediaman dan lorong.
Terdapat beberapa penemuan buaya air masin di kawasan Townsville yang dilanda banjir.
Perkhidmatan kecemasan sibuk menangani situasi.
Lebih 1,100 panggilan perkhidmatan kecemasan diterima, kata Perdana Menteri negeri Annastacia Palaszczuk.
Sekitar 400 penduduk Townsville mencari tempat perlindungan di penempatan tentera Lavarak berhampiran dan pasukan Palang Merah juga membantu dengan tindak balas dan usaha pemulihan.
“Perahu kecil bekerja sepanjang malam untuk memindahkan anggota masyarakat,” kata komander tempatan Scott Winter.
Palaszczuk memberi amaran kepada komuniti akan berdepan lebih banyak kesukaran. Sekolah dan mahkamah masih ditutup, hujan diramal turun lagi dan amaran kecemasan masih berkuatkuasa bagi lebih 10 sungai.
Jurucakap Ergon Energy, Emma Oliveri memberitahu AFP lebih 16,000 orang terputus bekalan tenaga dan mereka tidak dapat mengatakan bila ia akan pulih.
Pekan Ingham, di utara Townsville, menerima lebih 10 sentimeter hujan hanya dalam beberapa jam pada pagi Isnin, menurut Biro Meteorologi.
Angin dijangka bertiup dengan kelajuan sehingga 100 kilometer (62 batu) sejam di pantai.
Dianggarkan sekitar 20,000 rumah berisiko dibanjiri jika hujan berterusan, kata para pegawai.
“Secara asasnya, ia bukan kejaidan yang berlaku sekali dalam tempoh 20 tahun, tetapi ia berlaku sekali dalam tempoh 100 tahun,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, kami tidak pernah melihat perkara seperti ini ,” katanya. – AFP, 4 Februari, 2019.
Komen