PUTRAJAYA sudah membayar fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada 4 juta isi rumah berpendapatan rendah minggu lepas, tetapi golongan miskin di bandar miskin masih terjejas.
Sendirian dan tiada tempat tinggal, golongan tua miskin bandar tidak pernah mendengar tentang pelbagai program yang ditawarkan oleh kerajaan.
Sama ada bantuan kewangan tunai bantuan baharu atau sebelum ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), atau skim insurans baharu untuk golongan miskin, mySalam, mereka yang ditemui di Jalan Yew di Pudu, Kuala Lumpur berkata tidak pernah mendengar bantuan itu.
Di sebuah tempat letak kereta di bawah jambatan di Jalan Yew berhampiran pusat bandar, gelandangan berkumpul dan tinggal di sini lebih satu dekad.
Warga emas berusia 75 tahun, yang memberitahu namanya Leong, hanya mempunyai pakaian dalam beg sandang bersaiz sederhana. Tempat tidurnya dibuat daripada kotak kadbod diletakkan di atas kereta tolak, hanya satu meter jarak dari tong sampah besar.
Leong tinggal di sekitar kawasan Jalan Yew selama 11 tahun. Dilahirkan dan dibesarkan di Pahang, beliau menjadi gelandangan selepas gagal mendapatkan pendapatan konsisten dan kerana hanya hidup sendirian.
“Saya di sini setiap hari. Saya tidak berkahwin dan tiada keluarga,” katanya sambil menambah pernah menjadi kontraktor di Pahang.
Di sebelahnya terdapat sebalang biskut dan bekas makanan polistirena yang diberitahu Leong diberi oleh penduduk di kawasan itu dan pasar berdekatan. Kadang-kala, orang turut memberinya wang.
Pada satu ketika, Leong pernah menjadi penjaga tempat letak kereta tetapi kerana fizikalnya lemah, tidak mengizinkan untuk beliau meneruskannya. Ketika itu, beliau memperoleh sehingga RM10 sehari.
“Saya memerlukan RM2 untuk tandas awam. Setiap pagi pukul 4 pagi saya akan mandi.
“Sebelum ini saya akan menyelinap masuk ke tempat mandi tetapi sekarang ada orang yang menjaga pintu masuk, jadi saya perlu membayarnya.
“Kadang-kala saya tidak makan kerana hendak gunakan duit untuk mandi. Badan akan berbau jika saya tidak mandi kerana persekitaran saya,” kata Leong.
Apabila ditanya sama ada beliau menerima atau telah memohon sebarang bantuan kerajaan, Leong berkata tidak.
Ketika diberitahu mengenai BR1M di bawah pemerintahan terdahulu, dan skim insurans kesihatan mySalam yang baharu, beliau berkata tidak pernah mendengarnya.
Beliau juga berkata tidak pernah ada sesiapa daripada “pihak kuasa” datang untuk bercakap dengannya atau menawarkan bantuan, walaupun sudah biasa di kawasan itu.
“Tiada siapa pernah datang untuk membantu atau apa-apa. Saya tidak pernah didatangi sesiapa pun.”
Berhampiran pasar Pudu, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ravi juga berkata tidak mengetahui sebarang program kerajaan ketika diberitahu mengenainya.
Lelaki berusia 46 tahun itu cuba mendapatkan kerja kasar, tetapi katanya pekerja asing sering mengatasinya.
“Setiap peluang diambil oleh mereka. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan,” katanya sambil memegang satu ikat duit RM1 yang diterima daripada menjaga tempat letak kereta.
Pendapatannya itu adalah hasil penjaga tempat letak kereta dan memperoleh sekurang-kurangnya RM25 sehari.
“Ia tidak banyak tetapi saya boleh membeli makanan dengan duit ini. Saya tidak melakukan kerja ini setiap hari.
“Kadang-kala saya pergi ke kawasan lain kerana ada persaingan di sini,” katanya, merujuk kepada gelendangan lain.
Seperti Leong dan Ravi, lima lagi individu yang ditemui The Malaysian Insight juga mencari rezeki dengan menjadi joki kereta haram.
Tam Ah Hua berkata tidak pernah berdaftar untuk sebarang program kerana tidak tahu.
“Saya tidak mendaftar apa-apa pun. Saya hanya mendapat wang daripada menjaga tempat letak kereta,” katanya sambil menambah boleh mendapat sehingga RM30 sehari.
Selain BSH, baru-baru ini skim kesihatan mySalam dilancarkan yang menawarkan perlindungan insurans sekurang-kurangnya lima tahun bagi 36 jenis penyakit kritikal.

Ia bertujuan melindungi 40% daripada golongan berpendapatan bawah, atau kumpulan B40, yang mempunyai pendapatan kurang RM3,900 sebulan.
Bagaimanapun, pendaftaran untuk mySalam mesti dilakukan secara dalam talian.
Teknologi, dan kurangnya bantuan jika orang tua tidak berumah dan bersendirian, yang menjadi halangan bagi bantuan daripada sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.
Diminta mengulas mengenai bagaimana kerajaan dapat memastikan tiada golongan miskin yang ketinggalan, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, berkata usaha “pemasaran” diperlukan.
“Mungkin ada keperluan untuk mendekati orang ramai dan mereka yang berkenaan.
“Mungkin jika ahli Parlimen, kakitangan dan agensi yang berkaitan perlu turun ke bawah dan menerangkannya kepada orang ramai. Mereka harus melibatkan komuniti yang terjejas,” kata Santiago yang berpengalaman dalam melaksanakan program kebajikan sosial Peduli Rakyat Selangor.
Beliau berkata ia memerlukan menteri besar dan wakil rakyat mempromosikan program tersebut, pergi dari satu daerah ke daerah lain untuk memastikan setiap orang yang layak mengetahui mengenainya.
Santiago berkata pihak berkuasa juga harus bekerjasama dengan organisasi lain yang terlibat dengan golongan miskin, seperti kelompok agamawan, pasukan perubatan tidak berasaskan keuntungan dan NGO kebajikan. – 4 Februari, 2019.
Komen