WALAUPUN banyak agensi kerajaan dan badan amal membantu gelandangan dan golongan miskin di Kuala Lumpur, masih banyak terutama warga emas masih tercicir daripada jaringan bantuan dan hidup kais pagi, makan pagi setiap hari.
Organisasi yang mengendalikan bank makanan dan bantuan makanan percuma berkata keterdesakan itu mendorong golongan miskin tegar untuk mengejar setiap peluang mendapatkan makanan percuma kerana mereka bimbang tidak dapat makan.
Insiden di mana dua wanita warga emas maut ketika berebut kupon makanan menggambarkan keterdesakan itu kerana golongan miskin bergelut mendapatkan bantuan dalam program seperti itu yang tidak dikendalikan dengan sempurna oleh kumpulan yang kurang bersedia dan kurang pengalaman dalam mengagihkan bantuan.
Kumpuan bantuan yang hampir 10 tahun memberi makanan kepada orang miskin berkata insiden itu sepatutnya menjadi pencetus kepada orang awam berhubung masalah kemiskinan dan perlunya semua orang membantu mereka yang memerlukan dengan bekerjasama dengan organisasi berpengalaman.
“Ramai warga emas di luar sana yang tidak dilindungi, yang tidak ada anak atau ada anak tetapi tidak mampu membela mereka,” kata Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen Justin Cheah, berhubung masalah warga emas miskin.
Individu ini biasanya tinggal di flet kos rendah di sekitar pusat bandar dan walaupun mereka ada tempat tinggal tetapi mereka bergelut untuk membayar bil setiap bulan dan tidak cukup wang membeli makanan.
“Bagi orang miskin, kupon makanan RM100 pun sangat bernilai, kerana kalau ia tidak membantu hari ini, ia dapat membantu esok atau hujung bulan bila mereka tahu duit sudah habis,” kata Cheah, di mana organisasinya memberi bantuan makanan kepada gelandangan dan orang miskin Kuala Lumpur sepanjang 10 tahun lalu.
Dalam tempoh 10 tahun itu, Kechara mengenal pasti 8,000 individu gelandangan. Daripada jumlah itu, lebih separuh atau 59% berumur antara 50 tahun dan ke atas. Kira-kira 49% warga emas berumur antara 50 hingga 65 tahun, sementara umur melebihi 65 terdiri daripada 10%.
Cheah berkata 36% terdiri daripada mereka berumur antara 30 hingga 50 tahun sementara 15% antara 18 dan 30 tahun.
Lebih 83% daripada individu ini adalah mereka yang tidak tamat persekolahan.
“Golongan miskin lagi sukar untuk disasarkan berbanding gelandangan kerana anda lebih mudah mengenal pasti gelandangan. Kadangkala sukar mendapatkan maklumat dan membantu golongan miskin,” kata Cheah.

Kechara mengagihkan antara 600 hingga 700 paket makanan setiap minggu di Kuala Lumpur. Bank makanannya di seluruh negara membantu 500 keluarga dengan makanan kering, sementara program lebihan makanannya mengagihkan makanan kepada 12,900 individu.
Pengasas Pertiwi Soup Kitchen Munirah Abdul Hamid berkata program yang kurang persediaan seperti pada 28 Januari di ICC Pudu menunjukkan bahawa penganjur tidak faham perasaan golongan miskin.
“Bila pengagihan tidak dikendalikan dengan sistematik, akan berlaku perebutan kerana orang miskin takut mereka terlepas peluang mendapat bantuan,” kata Munirah, di mana organisasinya mengagihkan makanan kepada golongan miskin tegar dan gelandangan sejak sembilan tahun lalu.
Dalam insiden itu, dua wanita berusia 85 dan 78 mengalami sesak nafas ketika menunggu dalam lautan orang ramai di tingkat bawah ICC Pudu untuk mendapatkan kupon makanan.
Polis berkata hanya ada 200 kupon yang diagihkan oleh persatuan peniaga ICC Pudu kepada warga emas di kawasan itu. Tetapi kira-kira 1,000 orang datang untuk mendapatkan kupon itu.
Munirah berkata kematian itu boleh dielak jika penganjur program itu mendapatkan khidmat nasihat daripada kumpulan amal yang lebih berpengalaman.
“Ini akibatnya bila mereka yang tidak berpengalaman cuba melakukannya sendiri. Saya tidak faham kenapa mereka tidak datang kepada salah satu kumpulan kami untuk bantuan,” katanya.
Beberapa kumpulan bantuan makanan di Kuala Lumpur seperti Pertiwi dan Kechara ada pasukan sukarelawan berpengalaman yang akan memastikan proses agihan makanan dilakukan secara selamat dan sistematik, katanya.
Pertiwi mengagihkan 600 paket makanan empat malam setiap minggu di empat lokasi di Kuala Lumpur dan mengendalikan stesen bantuan perubatan untuk gelandangan di Lorong Medan Tuanku Dua.
“Dan sepanjang lapan tahun kami melakukannya, tidak pernah ada masalah,” kata Munirah. – 4 Februari, 2019.
Komen