Unit anti keganasan siasat kes anggota polis dibunuh


Muzliza Mustafa

Unit Anti Keganasan yang diketuai Ayob Khan Mydin Pitchay sentiasa berjaga-jaga selepas kumpulan pengganas IS menyeru para pengikut dah ahlinya menyerang negara Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Indonesia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2017.

UNIT Anti Keganasan Cawangan Khas akan melancarkan siasatan berasingan ke atas kematian anggota polis yang diserang dan ditembak sehingga mati oleh penyerang yang tidak diketahui di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya awal pagi ini bagi kemungkinan ada kaitan dengan keganasan.

Pengarah Cawangan Khas Mohamad Fuzi berkata walaupun terdapat bukti unsur keganasan, unit Counter Terrorism diarah menjalankan siasatan sendiri ke atas kes ini.

Ketika ini kes disiasat oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor.

“Polis akan siasat kes ini dari beberapa sudut, termasuk kemungkinan serangan pengganas. Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan ia ada kaitan dengan pengganas atau penglibatan organisasi pengganas,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui mesej teks hari ini.

Kejadian ini dilihat sebagai satu ugutan terhadap polis pada hari negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-60.

Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29 yang bertugas di Balai Polis USJ ditetak dan ditembak sehingga mati awal pagi ini.

Dia dipercayai ditembak menggunakan senjata apinya sediri kerana ia tidak ditemui i tempat kejadian.

Polis juga percaya kemungkinan terdapat lebih daripada seorang penyerang dalam kes ini.

“Ia menyedihkan kami. Kami akan buat yang terbaik untuk mencari pembunuh,” kata Mohamad Fuzi.

Pada 2016, polis menahan anggota kanan kumpulan IS dan 13 militan yang disyaki serta merampas Improvised Explosive Device (IED) yang digunakan untuk menyerang pegawai tinggi Bukit Aman.

Seramai 14 orang ditangkap oleh Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas di Selangor, Perak, Kedah Pulau Pinang dan Sabah antara 14 dan 20 Julai.

Difahamkan IED seberat 1 kilogram yang mampu memusnahkan kenderaan dijumpai dalam sebuah rumah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang dipercayai merupakan tempat simpanan kumpulan pengganas itu.

Pemimpin-pemimpin IS di Syria mengarahkan ahli-ahli dan pengikut-pengikutnya melancarkan serangan di Malaysia terutamanya terhadap pasukan polis yang mereka anggap menjadi “duri” dalam usaha mereka melebarkan pengaruh IS di negara ini.

Tangkapan berterusan ke atas pengikut dan mereka yang simpati dengan IS di Malaysia membuatkan pemimpin mereka mengisytiharkan bahawa darah anggota polis dibenarkan dan boleh dibunuh walaupun mereka beragama Islam.

Kumpulan berkaitan IS di Filipina melalui majalah onlinenya, Amaq baru-baru ini juga mengarahkan para pengikut dan ahli IS melancarkan serangan terhadap Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Dalam perkembangan lain, sumber polis mengatakan pada 21 Ogos lalu media IS iaitu Al Hayat Media Foundation menyiarkan klip video berdurasi 7 minit tentang perjuangan Marawi.

Video itu diedarkan di saluran IS di Instagram dengan hashtag #Alhayat_Inside. Ia merangkumi rakaman pertempuran dan video lain yang dirakam oleh pejuang IS di Marawi.

Rakaman peperangan juga menunjukkan pemimpin IS di Marawi, Isnilon Hapilon yang  menggelar mereka yang mati dalam pertempuran itu sebagai syahid.

Sumber itu juga berkata video tersebut turut menyelitkan seruan kepada ahli-ahli dan pengikut IS di negara Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Indonesia menyertai perjuangan mereka.

Pihak berkuasa di Malaysia terutamanya unit anti keganasan yang diketuai Ayob Khan Mydin Pitchay telah berjaga-jaga berikutan seruan terbaharu itu.

Ia juga telah menggandakan usaha dan bekerjasama dengan jabatan CID atas sebarang petunjuk dalam kes-kes yang mungkin ada kaitan dengan keganasan dalam usahanya untuk mengurangkan pengaruh IS serta ancaman di negara ini. – 31 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Wayang baru sudah bermula

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan