28 pendatang Haiti lemas, kapal karam di Bahamas


SEKURANG-KURANGNYA 28 warga Haiti lemas di pesisir pantai Abaco di Bahamas, kata pegawai semalam, tragedi terbaru melibatkan pendatang yang ingin lari daripada kemiskinan ekonomi di Caribbean.

“Setakat ini, seramai 17 orang diselamatkan dan 28 mayat dibawa keluar dari air selepas operasi menyelam selama dua hari,” kata Angkatan Pertahanan Diraja Bahamas.

Insiden itu berlaku pada Sabtu apabila kapal yang membawa penduduk Haiti karam berhampiran Fowl Cay, 10 kilometer dari pantai Marsh Harbour, Abaco.

Lima belas orang terselamat dan 13 mayat ditemui pada Sabtu lalu dalam misi bersama antara RBDF dan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS).

Pada Ahad, dua lagi mangsa yang ditemui hidup di kai berdekatan selain 15 mayat di dalam kapal yang karam.

Dalam satu tweet, kedutaan AS di Haiti menyifatkan ia sebagai kapal penyeludupan manusia keluar dari Haiti, sambil menambah: “Tiada perjalanan yang berbaloi dengan mempertaruhkan nyawa. Operasi migran dan penyeludupan haram adalah berbahaya dan sering berakhir dengan tragedi.”

RBDF menambah tahun ini sahaja, kira-kira 300 warga Haiti ditangkap kerana kemasukan haram dalam empat insiden berasingan.

Di negara di mana lebih 60% penduduk hidup dengan pendapatan kurang dua dolar sehari, terdapat percubaan yang kerap untuk ke Bahama atau Turks dan Caicos secara haram.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan generasi belia Haiti berhijrah ke Chile atau Brazil, negara yang visanya lebih mudah diperolehi.

Walaupun mengikut sejarah kebanyakan mereka ke AS, khususnya ke Florida, aliran migran  beralih ke Kanada dan negara jiran lain.

Sejak gempa bumi dahsyat pada 2010, kira-kira 60,000 penduduk Haiti menerima status perlindungan sementara di AS.

Pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada 2017 ia menamatkan program itu tetapi keputusannya dicabar dalam beberapa kes mahkamah. – AFP, 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen