Pesawat hilang dinaiki pemain bola sepak Sala ditemui


Kelab penyokong Nantes merentangkan sepanduk sebagai penghormatan kepada pemain bola sepak Argentina, Emiliano Sala, yang hilang pada 21 Januari 2019 selepas pesawat dinaikinya hilang. – Gambar EPA, 4 Februari, 2019.

PESAWAT yang membawa pemain bola sepak Argentina, Emiliano Sala dan juruterbangnya ditemui, kata jurucakap kepada AFP pada Ahad.

“Saya dapat mengesahkan ia sudah dijumpai,” kata jurucakap Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB).

Beliau berkata AAIB akan mengeluarkan kenyataan pada Isnin.

Sala menaiki pesawat dari Perancis untuk menyertai kelab barunya, Cardiff City pada 21 Januari ketika ia hilang di Kepulauan Channel.

Serpihan yang disyaki daripada pesawat itu terdampar di pantai Normandia di Perancis pada Rabu lepas.

Sala menaiki pesawat Piper PA-46 Malibu selepas berpindah dari pasukan Perancis Nantes selepas perjanjian bernilai 17 juta euro (AS$19.3 juta).

Ia hilang dari radar sekitar 20 kilometer (12 batu) di utara Guernsey, dengan juruterbang Dave Ibbotson satu-satunya individu yang berada dalam pesawat.

David Mearns daripada syarikat swasta Blue Water Recoveries, diupah oleh keluarga Sala untuk mencari kapal terbang itu, berkata di Twitter bangkai pesawat itu dikesan pada awal Ahad.

“Terdapat banyak bangkai di dasar laut,” tulisnya sambil menambah: “Ini adalah hasil terbaik yang boleh kita harapkan untuk keluarga.”

Beberapa pemain bola sepak terkenal adalah antara lebih daripada 4,500 penyumbang kepada halaman mengumpul dana yang berjaya memperoleh lebih 300,000 euro (AS$343,000) untuk mencari bangkai pesawat itu. – AFP, 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen