VICE Media pada Jumaat lalu mendedahkan rancangan membuang 10% pekerjanya atau 250 pekerjaan, dalam tindakan kurangkan pekerja terbaru dalam sektor media digital yang dahulunya berkembang pesat.
Ketua Eksekutif Nancy Dubuc membuat pengumuman itu kepada pekerja dalam sebahagian mengubah semula fokus Vice dan usaha meraih untung dalam perkembangan pesat syarikat yang menghasilkan berita dalam talian, program televisyen dan pelbagai kandungan digital lain itu.
“Selepas memuktamadkan belanjawan 2019, tumpuan kita berubah kepada pelaksanaan matlamat dan mencapai sasaran,” kata Dubuc dalam memo dalaman kepada pekerja syarikat didedahkan The Hollywood Reporter dan disahkan AFP.
“Kami akan pastikan Vice adalah gambaran terbaik dirinya dan mengukuhkan kedudukannya di masa depan untuk tempoh yang panjang.”
Penstrukturan semula itu akan mengecilkan operasi antarabangsa dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan kandungan berjenama dan penghasilan televisyen dan filem, menurut memo itu.
Vice adalah salah sebuah jenama besar dalam dunia digital, menjana lebih AS$1 bilion daripada Disney, 21st Century Fox dan lain-lain serta dinilaikan pada harga AS$5.7 bilion. Ia mempunyai operasi di hampir 40 buah negara.
Berita itu terdedah beberapa hari selepas bintang digital lain seperti BuzzFeed dan HuffPost juga melakukan tindakan sama, membangkitkan kebimbangan sektor media digital sedang mengalami penguncupan.
BuzzFeed bercadang membuang hampir 200 daripada 1,700 pekerjanya.
Di HuffPost pula, 10% wartawan atau 20 orang akan dibuang dalam usaha pengukuhan ibu syarikatnya, Verizon yang turut menguruskan laman web Yahoo.
Dubuc mengambil alih jawatan CEO tahun lepas daripada pengasas Shane Smith yang membina kumpulan media dengan tumpuan kepada beliau itu disebabkan skandal persekitaran kerja yang toksik.
Vice diasaskan pada 1994 sebagai majalah di Kanada sebelum berkembang menjadi antara gergasi media digital dunia. – AFP, 3 Februari, 2019.
Komen