PRESIDEN Sudan Omar al-Bashir hari ini berikrar untuk merancakkan pembangunan luar bandar, ketika beliau berusaha meredakan bantahan anti kerajaan yang berlaku di seluruh negara.
Ketua kerajaan yang sudah lama berkuasa itu sedang mengadakan jelajah seluruh negara dalam usaha meredakan bantahan yang dianggap ancaman terbesar pemerintahan 30 tahunnya.
Bercakap di depan ratusan penduduk kampung di Utara Kordofan yang disiarkan saluran televisyen negara itu, beliau berjanji menyalurkan bekalan air bersih “merentasi Sudan” dan membuka hospital baharu di kawasan itu.
Ucapan itu disampaikan selepas beliau merasmikan lebuh raya sepanjang 340 km menghubungkan Utara Kordofan dengan Omdurman, bandar berkembar Khartoum.
“Membina jalan raya dalam keadaan ekonomi sekarang bukan perkara mudah untuk dicapai,” kata Bashir, selepas naik ke pentas diringi puluhan lelaki menunggang unta.
“Di sepanjang jalan ini, kami akan salurkan elektrik untuk pacu pembangunan kawasan.”
Bantahan tercetus di Sudan pada Disember selepas kerajaan merancang menaikkan harga roti sebanyak tiga kali ganda, mencetuskan kemarahan rakyat yang kecewa kerana ekonomi negara yang teruk.
Jumlah rasmi menyatakan 30 orang maut dalam bantahan itu, walaupun kumpulan hak asasi, Human Rights Watch berkata sekurang-kurangnya 51 maut.
Usaha Bashir untuk menarik sokongan setakat ini gagal kerana rakyat masih marah, dengan kumpulan pembantah merancang mengadakan bantahan setiap hari bermula malam Ahad.
Bashir dan pegawai Sudan yang lain berulang kali mengatakan kerajaan hanya boleh diubah dengan pilihan raya.
Beliau yang berkuasa selepas rampasan kuasa pada 1989, bercadang bertanding buat kali ketiga dalam pemilihan presiden tahun depan. – AFP, 3 Februari, 2019.
Komen