KETUA pembangkang Venezuela Juan Guaido hari ini dijangka mengumumkan tarikh ketibaan bantuan kemanusiaan ke negara berkonflik itu- tindakan yang dianggap Presiden Nicolas Maduro sebagai buka laluan kepada campur tangan ketenteraan AS.
Sehari sebelum itu, Guaido dan Maduro masing-masing menganjurkan bantana berasingan di Caracas, 10 hari selepas Guaido mengumumkan dirinya sebagai “presiden sementara” negara kaya minyak itu.
Ketika bantahan itu, Guaido mengumumkan penubuhan pusat kutipan ubat-ubatan dan makanan di negara jiran Colombia dan Brazil. AS kemudiannya mengumumkan mereka akan menghantar bantuan kepada Venezuela selepas diminta Guaido.
Pemimpin berusia 35 tahun itu menerima sokongan sebelum bantahan besar-besaran bermula apabila jeneral tentera udara menjadi pegawai kanan tinggi pertama berpaling tadah dan mengiktiraf Guaido sebagai presiden sebenar negara itu.
Penasihat Keselamatan AS John Bolton dalam tweetnya mengulas kejadian itu menggesa semua anggota tentera mengikut jejak Jeneral (Francisco) Yanez”.
AS mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara pada 23 Januari, manakala empat lagi kuasa besar Eropah- Britain, Perancis, Jerman dan Sepanyol- berkata mereka juga akan mengikut jejak AS sekiranya Maduro tidak mengumumkan pilihan raya presiden menjelang tengah malam ini.
Bercakap pada bantahan pro kerajaan menandakan 20 tahun selepas penyandang presiden lepas Hugo Chavez berkuasa, Maduro tidak melayan tuntutan itu, sebaliknya mahu mengadakan pilihan raya umum yang sepatutnya diadakan pada hujung 2020 pada tahun ini.
“Mereka (pembangkang) mahu percepatkan pilihan raya, mari adakan pilihan raya,” katanya.
Maduro membuat penampilan awam pertama sejak perarakan tentera pada Ogos apabila beliau mendakwa jadi sasaran cubaan bunuh, menuduh Guaido sebagai “boneka AS” yang cuba melakukan rampasan kuasa.
Dewan Negara adalah satu-satunya cabang kuasa kerajaan Venezuela yang dipegang pembangkang.
Guaido sebelum itu menggesa pasukan keselamatan membenarkan pasukan bantuan kemanusian luar negara masuk.
Di bawah pentadbiran Maduro, Venezuela yang kaya minyak terjebak dalam krisis ekonomi buruk sehingga menyebabkan kadar inflasi melampau dan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Tetapi, Maduro enggan membenarkan bantuan luar masuk, mendakwa ia buka jalan campur tangan kuasa AS.
Semalam, Jeneral Yanez mengumumkan beliau menarik balik sokongan kepada pemerintahan diktator Maduro dan mengiktiraf Guadio.
Pengarah perancangan strategik tentera udara itu juga berkata “90% tentera udara tidak menyokong diktaor”.
Selepas itu, bekas jeneral komander tentera udara Jorge Oropeza juga mengumumkan menyokong Guaido.
Oropeza dan Yanez juga disertai Jonathan Velasco, duta Venezuela ke Iraw.
Pasukan keselamatan merupakan penyokong tegar Maduro sebelum ini, tetapi petanda mereka berbelah bahagi sudah wujud. – AFP, 3 Februari, 2019.
Komen