Ancaman bom, lapangan terbang antarabangsa Australia ditutup


Polis Queensland menutup Lapangan Terbang Brisbane pada petang Sabtu selepas menemui 'peranti mencurigakan'. – Gambar EPA, 3 Februari, 2019.

SALAH satu lapangan terbang antarabangsa tersibuk di Australia ditutup sementara selepas seorang lelaki mengeluarkan pisau dan membuat ancaman bom di sebuah medan selera, menyebabkan para pelancong panik dan melarikan diri, kata pegawai pada Ahad.

Polis Queensland berkata mereka menutup Lapangan Terbang Brisbane petang Sabtu selepas menemui “peranti mencurigakan” ketika bertindak balas terhadap laporan lelaki berusia 50 tahun, yang berbahasa Arab, mengancam seorang wanita.

Faktor pengganas kemudiannya dinafikan sebagai punca dan lelaki itu didakwa dengan kesalahan keganasan rumah tangga, secara palsu mendakwa memusnahkan atau merosakkan kemudahan penerbangan, dan membuat penipuan ancaman bom.

Peranti itu didapati adalah “lengai” yang kelihatan seperti peti besi kecil dan hitam dengan wayar yang melekat padanya, menurut gambar yang dikeluarkan oleh polis.
Lelaki itu, yang ditahan oleh polis, akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin. Terminal itu dibuka semula selepas dua jam.

Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai serangan berkaitan pengganasan oleh pihak radikal yang diilhamkan oleh kumpulan militan Islamic State (IS) dan kumpulan lain, dengan cubaan gagal mensasarkan penerbangan Etihad dengan bom di Sydney pada 2017.

Canberra memperkenalkan undang-undang keselamatan baharu termasuk membolehkan polis Australia menjalankan pemeriksaan identiti secara rawak di lapangan terbang. – AFP, 3 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen