POLIS Istanbul pada Sabtu menahan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam serangan pada 2015 yang mensasarkan konsulat Amerika Syarikat (AS) di bandar itu, kata pejabat gabenor tempatan.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai Hatice Kilic dan dikatakan ahli kumpulan berhaluan kiri yang diharamkan, ditangkap di daerah Avcilar di Istanbul, tambahnya.
Dua wanita bersenjata melancarkan serangan pada Ogos 2015 terhadap konsulat AS yang terletak di daerah Istinye di pinggir Istanbul.
Seorang cedera, dan ditahan tidak lama selepas serangan itu, tetapi Kilic berjaya melarikan diri dan pihak berkuasa menawarkan ganjaran sebanyak 1.5 juta lira (250,000 euro) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
Barisan Revolusi Pembebasan Rakyat (DHKP-C) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Kumpulan itu mensasarkan kedutaan AS di Ankara pada 2013 dan membunuh pengawal keselamatan Turki. – AFP, 3 Februari, 2019.
Komen