PENGETUA Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ) Dr Asyraf Suarin antara individu yang selalu mengadakan program mengedarkan makanan kepada gelandangan, pelacur dan pondan di sekitar belakang mati dekat Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur.
Aktiviti amal ini dilakukan bersama 40 pelajar tahfiz PMHQ. Matlamatnya, menerapkan budaya insan dan ihsan sesama manusia, selalunya PMHQ berkolaborasi dengan NGO Laskar4Life (L4L) yang berpusat di Kampung Baru.
Bagi Asyraf, keutamaan bukan soal amalan mengedarkan makanan, tapi usaha menerapkan budaya melatih pelajar tahfiz menyantuni gelandangan, pelacur dan pondan.
Disiplin operasi L4L pula sangat ketat. Sukarelawan yang mengikuti program ini harus bersikap lunak dan menghormati semua penerima bantuan.
Antaranya SOPnya, mesti memberi salam kepada yang Islam dan mengucapkan apa khabar kepada bukan Islam. Serahan makanan mesti dilakukan dengan penuh adab.
Sukarelawan harus menyerahkan beg makanan dengan tangan kanan. Atau duduk melutut menghulurkan pek makanan dengan tangan kanan sekiranya penerima ialah warga tua yang lena berbaring atau duduk bersandar di kaki lima.
Kalau gelandangan tua dibahasakan dengan panggilan lembut pakcik dan makcik atau “auntie” dan “uncle” kalau bukan Melayu. Sekali pun pelacur, L4L menetapkan, mereka hendaklah disapa sebagai kakak.
Manakala pondan dibahasakan sebagai “you”. Istilah yang perlu diubah suai kerana matlamat program ialah meningkatkan akhlak sukarelawan. Memanggil pondan sebagai abang adalah tidak mesra persekitaran.
Kali pertama berjalan mengitari lorong-lorong gelap di Belakang Mati, tentulah janggal bagi pelajar tahfiz. Apa lagi, pondan yang kebanyakan adalah warga emas dan tiada tempat tinggal itu, dibahasakan dengan “you”.
Akhirnya, pelajar tahfiz faham. Istilah itu digunakan bagi menjaga perasaan pondan. Usaha amal ini bukan untuk mencetuskan rasa tersinggung sesiapa.
Jadi tidak salah mesra bahasa walaupun janggal. Tentulah, pada awalnya pelajar tahfiz berada janggal. Kenapa pondan tidak disapa sebagai abang atau encik?
Pelajar tahfiz akan berpakaian kemeja T rasmi dan mengenakan kupiah putih berlogokan PMHQ yang berpusat di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang.
PMHQ menyantuni apa yang diseru dalam “Rahmatan Lil Alamin”, bahawa dunia pusat tahfiz bukan tempurung minda atau gua amal yang sekadar mencari reda Allah ke syurga semata-mata.
Malah, proses menjadi tahfiz turut diterap dengan sahsiah untuk berinteraksi dengan masyarakat. Apa lagi berdepan golongan paling dicela masyarakat. Terutama pondan, pelacur dan gelandangan.
Sikap pelajar tahfiz mengingatkan kita kepada seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa yang masyarakat harus menyantuni pondan atau transgender ini dengan sikap rahmah.
Dakwah ialah menyebarkan Islam sebagai agama kasih sayang dan bersikap membawa rahmat ke seluruh alam.
Selepas diserang pembenci lesbian, gay biseksual, transeksual (LGBT) kerana pertemuan dengan aktivis SEED, Nisha Ayub pada 13 Ogos tahun lalu, Mujahid semakin faham akan tahap kebencian masyarakat terhadap komuniti LGBT.
Satu siri serangan bom berantai dilakukan terhadap sikap lunak Mujahid terhadap Nisha. Musuh politik sengaja mengaitkan dasar kerajaan dalam menerapkan “Rahmatan Lil Alamin” sebagai cenderung mengiktiraf kewujudan hak asasi minoriti LBGT.
Sekiranya PMHQ milik kerajaan, pasti program ziarah pelajar tahfiznya dalam menyantuni pelacur dan pondan akan terdedah pada serangan pembenci LGBT.
Malah, akan dikaitkan secara politik sebagai doktrin kerajaan menggunakan “Rahmatan Lil Alamin” ke arah Islam liberal.
Padahal dalam konteks menjadikan Islam itu bukan agama yang menghukum, layanan Mujahid terhadap Nisha harus dilihat dalam konteks dakwah yang rahmat serta meletakkan hak-hak kemanusiaan di tempat yang betul walaupun pondan dan pelacur dianggap pendosa.
Hakikat berdakwah tidak semua menghukum. Dalam kes berdepan komuniti LBGT, ia harus bersikap rahmah.
Selain menjadikan Islam itu menghormati hak asasi, lunak ialah sikap berdakwah. Bukankah dakwah juga harus menyantuni pendosa untuk kembali ke jalan Allah?
Malah, Jakim sebelum kedatangan Mujahid, sudah pun menjalankan pelbagai program dakwah secara “engagement” dengan komuniti LGBT di seluruh negara.
Sikap Mujahid yang memilih pendekatan prihatin dan sedia mendengar pandangan Nisha di pejabatnya di Putrajaya, juga satu usaha dakwah.
Apa lagi dengan kedudukan Mujahid sebagai menteri. Akhlak dan sikap berjiwa besar harus ada.
Dakwah tidak akan berkesan dengan kekerasan dan sikap menjatuhkan hukuman. Apa lagi memulau dan enggan mendengar aduan dan permasalahan komuniti LGBT.
“Pendekatan dakwah secara engagement bukan bermakna saya atau kerajaan sokong perlakuan LGBT,” jelas Mujahid sehari selepas pertemuan itu.
Serangan bertali arus menyebabkan Mujahid terpaksa menjawab dan menjelaskan keadaan sebenar. Pertemuan dengan Nisha diputar belit sebagai tanda-tanda awal kerajaan akan mengiktiraf LGBT.
Dr Mujahid menjelaskan keprihatinan kerajaan. Isu mengiktiraf LGBT langsung tidak disentuh dalam sesi 45 minit itu.
Nisha datang sebagai aktivis SEED untuk berkongsi isu kesukaran golongan transgender mendapatkan pekerjaan.
Malah, mengadu mengenai peraturan dan diskriminasi majikan, pengaruh adat dan budaya yang menyukarkan komuniti pondan untuk mencari pekerjaan.
Malah, berdepan trauma kerana dipulaukan. Akhirnya, penyisihan masyarakat antara faktor utama pendorong pondan terjebak sebagai pekerja seks.
“Kita tidak boleh nafikan hak asas pelaku LGBT sebagai manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan, mendapat peluang perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tidak dihina dan dikutuk.
“Hak asas ini wajar dinikmati setiap warganegara selagi mana ia tidak mengancam hak yang lain secara jelas,” kata Mujahid.
Idea Mujahid memberi aspirasi pada Asyraf. Justeru, pendorong utama program bantuan makanan dan membawa pelajar tahfiz PMHQ menyantuni golongan ini secara rahmah dan berhemah. Sekali gus melengkapkan kefahaman utama terhadap Islam sebagai agama “Rahmatan Lil Alamin”.
“Selepas pengalaman pertama, pelajar sangat teruja, selalu bertanya bila lagi akan diadakan program seterusnya ” kata Asyraf.
Tanpa prejudis, kata Asyraf - pengalaman itu mengubah minda pelajar yang selama ini melihat pondan dengan pandangan yang sangsi.
“Sekarang mereka sedar, wujud tanggung jawab membantu. Malah, menyantuni dengan sebaik adalah antara cara berdakwah untuk menyedarkan pondan bahawa dakwah Islam tidak memulaukan mereka,” jelasnya.
Reaksi Asyraf adalah normal. Itu juga reaksi yang dikongsi badan amal syarikat korporat, delegasi elit sektor swasta, kumpulan usrah artis VIP dan sesiapa saja yang mengikuti projek L4L untuk melihat secara dekat kehidupan daif gelandangan, pelacur dan pondan jalanan.
Nyata sekali, cetusan sikap jiwa besar Mujahid berjaya mengubah persepsi masyarakat. Sikap ingin dakwah pelbagai pihak terutama kepada komuniti pondan dan pelacur kini tidak lagi keras menghukum.
Layanan lunak “Rahmatan Lil Alamin” dijadikan berdakwah secara kasih-sayang kini satu modul tambahan. Ia mampu menyedarkan pondan dan pelacur supaya kembalilah kepada Islam – agama yang indah dan penuh rahmah. – 3 Februari, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen