Kumpulan terakhir kanak-kanak pelarian di kem Pasifik bakal dipindahkan


Para penunjuk perasaan melakukan bantahan terhadap kerajaan Australia agar memindahkan kanak-kanak pelarian dari kem Pasifik di pulau Nauru. – Gambar EPA, 3 Februaru, 2019.

KUMPULAN akhir pelarian kanak-kanak yang ditahan oleh Australia di kepulauan Pasifik terpencil di Nauru akan dipindahkan ke beberapa negara lain, kata Perdana Menteri Scott Morrison pada Ahad, berikutan kritikan terhadap Canberra berhubung layanan keras kepada pencari suaka.

Di bawah polisi yang bertujuan menghalang pencari suaka sampai ke Australia dengan bot, Canberra menghantar mereka yang tiba di beberapa kem Pasifik, sementara menunggu permohonan mereka diproses.

Bagaimanapun, terdapat desakan daripada pihak tempatan dan antarabangsa terhadap kerajaan agar memindahkan kanak-kanak yang ditahan di situ, susulan laporan masalah kesihatan yang serius.

“Setiap kanak-kanak pencari suaka kini dipindahkan dari Nauru atau tuntutan sudah diproses dan mendapat kebenaran keluar dari pulau itu,” kata Morrison dalam satu kenyataan bersama Menteri Imigresen David Coleman.

Morrison berkata ketika beliau berkuasa pada Ogos, terdapat 109 anak di pulau itu.

“Sekarang hanya terdapat empat kanak-kanak pencari suaka di Nauru dan mereka semua sudah diluluskan untuk berlepas ke Amerika Syarikat (AS) bersama keluarga,” katanya.

Canberra mengatakan dasar itu untuk tidak menggalakkan pencari suaka melakukan pelayaran melalui jalan laut yang berbahaya, dan ia berjaya menghentikan kebanjiran ketibaan bot semasa kerajaan terdahulu.

Tetapi kesemua kem yang diwujudkan mendapat kritikan hebat, dengan laporan penderaan, bunuh diri dan mematahkan semangat pelarian.

Saksi - termasuk wartawan AFP - melaporkan situasi yang teruk di Nauru, dengan keluarga yang hidup dengan kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan orang tersayang membunuh diri.

Pilihan raya umum juga menunjukkan rakyat Australia mahu kanak-kanak dan keluarga mereka dipindahkan dari Nauru, walaupun polisi ketat masih popular.

Terdapat kira-kira 600 orang di pusat peralihan di Pulau Manus Papua New Guinea selepas kem itu ditutup pada 2017, menurut pejuang pelarian.

Canberra menghalang para pelarian ditempatkan semula di Australia dan sebaliknya cuba menghantarnya ke negara ketiga seperti AS.

Beberapa ratus pelarian dari Manus dan Nauru sudah ditempatkan di AS, tetapi prosesnya perlahan, menyebabkan beberapa pelarian merana selama bertahun-tahun di kepulauan itu.

Pengumuman itu menjelang sidang pertama Parlimen tahun ini pada pertengahan Februari dengan kerajaan minoriti konservatif dijangka berdepan tekanan untuk memindahkan kanak-kanak keluar dari Nauru. – 3 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen