SPEKULASI berlegar mengenai hubungan yang semakin erat antara adik Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Lee Hsien Yang dengan pemimpin pembangkang Dr Tan Cheng Bock selepas kedua-duanya bertemu untuk bersarapan bersama semalam.
Ini adalah pertemuan kedua mereka di Pasar Ang Mo Kio dan Pusat Makanan di Blok 409, Ang Mo Kio Avenue 10, beberapa minggu selepas Tan mengumumkan hasratnya untuk membuat kemunculan semula dalam politik, dengan Hsien Yang secara terbuka memberikan sokongan.
Today berada di situ ketika kedua-duanya tiba pada 9.14 pagi namun Tan enggan ditemubual ketika dihampiri.
Hsien Yang pula hanya berkata: “Sarapannya bagus.”
Today difahamkan sebelum bersarapan, kedua-duanya bersiar-siar di Teck Ghee, kawasan abang Hsien Yang, Hsien Loong. Teck Ghee berada di bawah Kawasan Pilihan Raya Perwakilan Kumpulan Ang Mo Kio (GRC).
Selain Tan dan Hsien Yang, empat lelaki lain turut bersama termasuk pembantu khas Tan. Beberapa orang awam menghampiri meja untuk menemui mereka dan mengambil gambar.
Pada 18 Januari, Tan, 78, bekas ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat, mengumumkan hasratnya untuk kembali dalam politik melalui status di Facebook.
Tan berkata beliau dan 11 yang lain - beberapa daripadanya adalah bekas kader Parti Tindakan Rakyat (PAP) - memohon pada 16 Januari untuk memulakan parti politik baru yang dikenali sebagai Parti Progres Singapura.
Ia muncul ketika khabar angin bahawa pilihan raya umum akan datang, yang akan berlaku pada awal 2021, kemungkinan diadakan pada tahun ini.
Beberapa hari selepas pengumuman itu, Hsien Yang menyokong Tan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, berkata dalam catatan Facebook beliau pada 24 Januari bahawa Tan adalah “pemimpin yang layak untuk Singapura”.
Kali terakhir kedua-duanya dilihat bersama pada 4 November tahun lepas, ketika mereka bersarapan di sebuah pusat penjaja di Pantai Barat.
Sebelum bertanding pada pilihan raya presiden 2011, yang menyaksikan beliau kalah tipis dengan Dr Tony Tan Keng Yam, Tan berkhidmat sebagai ahli Parlimen PAP selama 26 tahun sehingga 2006.
Tan bersara sebagai doktor tahun lalu selepas berkhidmat selama 50 tahun, sebelum ini adalah ahli Parlimen Ayer Rajah SMC antara 1980 dan 2006. Parlimen itu diserap ke GRC Pantai Barat selepas itu.
Ang Hin Kee, ahli Parlimen PAP bagi Ang Mo Kio GRC, membuat lawatan di pusat makanan pagi semalam, menyampaikan peket merah Tahun Baharu Cina kepada penduduk, pada masa yang sama semasa pertemuan Tan dan Hsien Yang.
Beluau menyambut kedua-duanya dan saling bertukar ucapan. Ang berkata beliau mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada Tan. Beliau juga memberitahu Tan terdapat banyak makanan yang bagus di pusat penjaja di bandar Ang Mo Kio, dan menjemput untuk melanggannnya.
Selepas bersarapan, Tan dan Hsien Yang berjalan di pasar dan menegur orang ramai yang ada di situ. – 3 Februari, 2019.
Komen