Pengeboman Al-Shabab bunuh empat tentera Ethiopia


AMISOM yang merupakan operasi pengamanan Kesatuan Afrika kini berdepan cabaran serangan gerila dari kumpulan militan Al-Shabab di wilayah Somalia.– Gambar EPA, 2 Februari, 2019. 

SEKURANG-kurangnya empat tentera Ethiopia terkorban di selatan Somalia pada  Sabtu ketika pengeboman bunuh diri yang dilakukan kumpulan Al-Shabaab berhampiran pengkalan mereka, kata pegawai keselamatan dan saksi.

Pengebom bunuh diri tersebut membawa kenderaan dengan bahan peledak dan menerobos masuk ke dalam tempat pemeriksaan di luar pengkalan tentera di Bardhere.

“Kami dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya empat askar Ethiopia yang mengendalikan pemeriksaan di kawasan itu mati dalam letupan tersebut,” kata Muktar Abdulahi, seorang pegawai keselamatan tempatan, kepada AFP melalui telefon.

Beberapa saksi turut mengesahkan serangan tersebut.

“Ledakan itu sangat kuat, dan saya melihat tentera Ethiopia mengumpul beberapa mayat selepas letupan. Mereka menutup kawasan itu dan ambulans tentera mengangkut mangsa ke pengkalan,” kata salah seorang saksi, Ahmed Muhidin.

Kumpulan militan Al-Shabaab mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan itu dalam satu kenyataan, mengatakan bahawa pejuangnya “melakukan operasi mati syahid yang mensasarkan tentera Kristian Ethiopia di Bardhere. Maklumat awal yang kita peroleh menunjukkan bahawa musuh kehilangan 16 askar dalam serangan tersebut. “

Angkatan bersenjata Ethiopia beroperasi sebagai sebahagian daripada misi pengaman Kesatuan Afrika (AMISOM) yang mempunyai kekuatan seramai 20,000 orang di Somalia.

Bardhere, kira-kira 350 kilometer di bahagian barat ibu negara, adalah salah satu daripada beberapa pengkalan AMISOM di mana ia mempunyai tentera yang ditempatkan di lokasi berkenaan.

Al-Shabaab yang merupakan rangkaian Al-Qaeda kini telah didorong keluar dari Mogadishu sejak tahun 2011.

Namun ia masih mengekalkan kawalan di kawasan pedalaman negara itu dan berterusan menjalankan operasi gerila melawan pihak berkuasa. – AFP, 2 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen