WABAK selesema khinzir yang melanda Maghribi mengakibatkan sembilan orang meninggal dunia sejak seminggu yang lalu, kata Menteri Kesihatannya pada Sabtu.
Penyebaran virus H1N1 tersebut adalah “normal” dalam tempoh sekarang pada tahun ini, kata Anas Doukkali, yang dipetik agensi berita MAP.
Kematian pertama di Maghribi yang berpunca dari virus jenis influenza itu dilaporkan oleh media tempatan pada hari Rabu, ketika khabar angin mengenainya tular di media sosial sehingga menyebabkan warga negara itu panik.
“Usaha yang teliti bagi mengesan kes-kes yang mungkin diakibatkan virus itu kini dijalankan di hospital-hospital seluruh negara,” kata jurucakap kerajaan Mustapha Khalfi.
H1N1 adalah penyakit pernafasan yang berpunca daripada sentuhan antara manusia dan khinzir dan ia tersebar melalui penyedutan virus melalui pernafasan.
Wabak H1N1 pertama kali mencetuskan kepanikan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengeluarkan amaran berjaga-jaga pada bulan Jun 2009. Ia membunuh sekitar 18,500 orang di 214 negara sebelum amaran itu ditarik balik pada bulan Ogos 2010. – AFP, 2 Februari, 2019.
Komen