Rusia turut tangguh perjanjian peluru berpandu selepas AS 


Putin bertegas untuk turut menangguhkan keputusannya menyertai INF. – Gambar AFP, 2 Februari, 2019.

PRESIDEN Vladimir Putin pada hari Sabtu berkata Rusia menangguhkan penyertaannya dalam perjanjian peluru berpandu era Perang Dingin sebagai tindakan balas terhadap Amerika Syarikat (AS) yang melakukan tindakan serupa sehari sebelumnya.

“Rakan kami Amerika telah mengumumkan bahawa mereka menangguhkan penyertaan mereka dalam perjanjian itu, dan kami juga turut menangguhkan penyertaan kami,” katanya memberi reaksi terhadap Perjanjian ‘Intermediate-Range Nuclear Forces Treaty’ (INF).

Putin berkata semasa mesyuarat bersama Menteri Luar dan Pertahanan Sergei Lavrov dan Sergei Shoigu, Rusia memutuskan untuk tidak akan lagi memulakan rundingan dengan AS mengenai pelucutan senjata.

“Kami akan menunggu sehingga rakan kongsi kami sudah cukup matang untuk mengadakan dialog yang bermakna dengan kami mengenai topik penting ini,” kata presiden itu.

Presiden Donald Trump pada hari Jumaat mengatakan bahawa Washington telah menangguhkan penyertaannya dalam perjanjian INF dan akan memulakan proses untuk menarik diri dalam tempoh enam bulan.

Washington berkata, sistem peluru berpandu jarak sederhana Rusia melanggar perjanjian INF.

Namun Moscow menegaskan ia tidak pernah melanggar perjanjian itu, dan bulan lepas mempelawa wartawan dan tentera asing bagi sebuah taklimat mengenai sistem senjata yang dipertikaikan. – AFP, 2 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen