Kami telah cuba sedaya upaya untuk buru pelaku, kata polis 


Alfian Z.M. Tahir

Siasatan kes S. Satishwaran (gambar) turut menggunakan kaedah mesin poligraf untuk menyoal siasat suspek yang ditahan namun keputusannya negatif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2019.

POLIS Kuala Lumpur mengakui pihaknya gagal memburu individu yang bertanggungjawab membaling kerusi di perumahan flat kos rendah, hingga menyebabkan seorang pelajar, Sathiswaran Sathiasilan terbunuh tahun lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa memberitahu The Malaysian Insight, polis telah menggunakan segala kaedah yang ada namun masih gagal mengesan pembunuh berkenaan. 

“Kita telah cuba sedaya upaya dalam siasatan bagi mencari pelaku di sebalik pembunuhan Sathiswaran tetapi malangnya sehingga kini kita masih belum menemui individu yang terlibat dalam insiden di flat Projek Perumahan Rakyat Sri Pantai di Pantai Dalam. 

“Sudah pasti kita mahu menutup kes kerana ia masih dibuka dan disiasat. Tetapi tiada perkembangan berhubung kes ini,” kata pegawai kanan polis itu. 

Tahun lalu, The Malaysian Insight dimaklumkan polis menggunakan mesin poligraf untuk menyoal siasat suspek yang ditahan namun keputusannya negatif. 

Polis juga berkata pihaknya sudah merakam keterangan daripada ramai individu. 

“Kami telah menggunakan mesin pengesan pembohongan pada wanita yang kami tahan tetapi hasilnya negatif, kami terpaksa membebaskannya selepas reman berakhir.”
 
“Kami telah menemubual ramai orang dalam kes ini tetapi tidak ada petunjuk kepada orang yang bertanggungjawab,” kata sumber itu ketika dihubungi pada tahun lepas.

Satu lagi sumber yang dihubungi hari ini berkata polis telah menghantar kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
 
“Kami telah mengemukakan IP kepada DPP dan kami sedang menunggu maklum balas mereka,” kata sumber itu.

Pada Mac 2018, polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun untuk membantu siasatan berhubung kematian Sathiswaran yang terbunuh selepas dihempap kerusi yang dibaling dari tingkat 21 PPR Seri Pantai di Pantai Dalam pada Januari.

Dalam satu kenyataan, polis berkata wanita tersebut ditahan pada 12 Mac berdasarkan keputusan laporan kimia itu.

“Dia disoal siasat semasa tempoh remannya, namun dia tidak memberikan sebarang perkembangan.

“Polis Persekutuan juga menggunakan analisis tekanan suara digital semasa soal siasat, tetapi ia sia-sia,” kata ketua polis KL Mazlan Lazim.
 
Pelajar Tingkatan Tiga SMK La Salle Brickfields ketika kejadian menemani ibunya S. Kasthuribai, 45, yang baru saja selesai membeli-belah runcit.
 
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mereka baru memasuki blok kediaman mereka di, Blok 102 di Seri Pantai PPR jam 8.30 malam.

Kerusi pejabat berwarna biru, dipercayai dibaling dari tigkat atas blok berkenaan, terkena Sathiswaran yang menyebabkan kematiannya. – 2 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen