MALAYSIA menyasarkan 28.1 juta pelancong asing pada 2019 dan meganggarkan pulangan sebanyak RM92.2 bilion, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Rashidi Hasbullah.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai jumlah pelancong tahun lalu, Rashidi memberitahu media, jabatannya masih belum menerima jumlah sebenar daripada Jabatan Imigresen.
“Kita mensasarkan 28.1 juta pelancong asing dan pendapatan dianggarkan sebanyak RM92.2 bilion.”
“Kita masih menunggu angka daripada Jabatan Imigresen mengenai berapa ramai pelancong asing ke negara kita. Namun setakat September kita tahu jumlahnya adalah 19.2 juta pelancong asing,” katanya pagi ini ketika ditemui pada majlis pelepasan program Jelajah Harapan Johor Bahru-Dubai 2019.
Bercakap mengenai program hari ini, Rashidi berkata, enam penunggang motosikal berkuasa tinggi akan menjelajah melalui jalan darat di tujuh negara dalam usaha untuk mempromosikan Malaysia.
Negara terbabit adalah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, UAE dan Oman.
“Jelajah bermotosikal ini adalah usaha untuk mempromosikan Malaysia dan konvoi ini akan mengambil masa 29 hari untuk ditamatkan. Kesemua enam penunggang akan membawa Jalur Gemilang.”
“Saya harap dengan program ini ia akan membuka mata kepada negara lain untuk mengetahui tentang Malaysia dan juga sebagai promosi kepada Malaysia yang boleh dimasuki melaluui jalan darat. Bukan hanya melalui udara,” tambahnya.
Menurut laman web Motac, pada 2017, Malaysia menerima 25.9 juta pelancong antarabangsa dan merekodkan pertumbuhan 0.1% dalam resit pelancong.
Ia menerima RM82.2 bilion untuk hasil negara pada tahun 2017. – 2 Februari, 2019
Komen