SUDAH lebih setahun sejak Sathiswaran Sathiasilan yang ketika itu berumur 14 tahun terbunuh akibat dihempap sebuah kerusi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Kes kematian remaja malang itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, namun keluarganya masih tidak tahu siapakah yang menyebabkan kematian anak mereka.
K. Sathiasilan dan S. Kasthuribai masih bersedih dengan kematian anak bongsu mereka itu. Baru-baru ini, kesedihan dikongsikan bersama The Malaysian Insight ketika ditemui di rumah mereka.
“Saya betul-betul tak puas hati. Sudah lebih setahun anak saya meninggal dunia, tetapi kami tak terima apa-apa perkembangan mengenai kes itu.
“Setiap bulan saya akan hantar mesej WhatsApp pada pegawai polis yang menguruskan kes ini, tanya apa perkembangan terbaru, tetapi dia hanya kata masih dalam siasatan.
“Walaupun sudah setahun, jawapannya masih sama,” kata Sathiasilan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Dalam mesej terakhir yang diterimanya, Sathiasilan diberitahu yang keputusan forensik ujian cap jari ke atas sampel yang dikumpulkan adalah negatif. Pegawai polis itu juga memberitahu tiada bukti yang dapat mengaitkan kerusi itu dengan pemiliknya.

“Keputusan forensik negatif. Tuan punya kerusi juga tak dapat dikesan.
“Saya bingung dengan semua jawapan yang mereka beri. Akhirnya, orang yang lemparkan kerusi dan pemilik yang meletakkan kerusi itu di koridor masih bebas, sedangkan anak dah tiada,” kata Sathiasilan.
Beliau juga berkata ada berhasrat untuk mengupah peguam tetapi tidak mampu.
“Kami bukan orang kaya. Tak mampu nak upah peguam, tetapi kalau Tuhan izinkan kami dapat soerang peguam yang sanggup membantu, maka kami akan teruskan,” tambah ayah berusia 47 tahun itu. Sathiasila dan isteri mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 18 tahun.
Pada 15 Januari tahun lalu, Sathiswaran, pelajar sekolah SMK La Salle Brickfields di Kuala Lumpur, sedang berjalan bersama ibunya, Kasthuribai di tingkat bawah flat PPR Seri Pantai apabila tiba-tiba sebuah kerusi dilempar dari tingkat 12 dan menghempap kepalanya. Remaja itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Kasthuribai, 46, yang menyaksikan anaknya mati di depan matanya sendiri, berkata kejadian tersebut tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hayatnya.
Kata Kasthuribai, ada orang bertanya sama ada beliau menerima sebarang pampasan, tetapi baginya tidak kiralah berapa banyak pun pampasan yang diberi, ia tidak dapat menggantikan anaknya yang sudah tiada.

“Saya sangat sedih. Walaupun dia sudah meninggal, memori bersamanya tidak dapat dilupakan. Bayangkanlah, saya menadah otak anak saya sendiri.
“Semua orang ingat saya dapat pampasan besar dan ada juga yang tanya apa yang saya dapat. Tetapi, saya tak pandang itu semua. Anak saya dah tiada, tiada gantinya,” kata pekerja restoran itu sambil mengesat air mata.
Seperti juga suaminya, Kasthuribai berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera dan menangkap orang yang menyebabkan kematian anaknya.
“Saya masih tunggu keadilan untuk anak saya. Saya harap polis akan ambil serius kes ini dan pastikan pesalahnya ditangkap,” katanya dalam Bahasa Tamil diselang-seli dengan Bahasa Melayu.
Apa yang Kasthuribai mahukan ialah bertanya kepada orang yang membaling kerusi itu mengapa dia berbuat demikian.
Upacara sembahyang sempena setahun kematian Sathiswaran akan diadakan di rumah keluarga itu esok. – 2 Februari, 2019.
Komen