Aktivis alam sekitar diserang di pantai Mexico


Kapal milik kumpulan alam sekitar, Sea Shepherd telah diserang 20 buah bot ketika membuat rondaan di pantai Mexico untuk melindungi ikan lumba-lumba vaquita yang kini terancam kerana diburu nelayan haram. – Gambar fail AFP, 2 Februari, 2019.

KAPAL milik kumpulan alam sekitar, Sea Shepherd telah diserang 20 buah bot ketika membuat rondaan di pantai Mexico untuk melindungi ikan lumba-lumba vaquita yang kini terancam kerana diburu nelayan haram.

Menurut kenyataan kumpulan itu pada Jumaat, penyerang yang menaiki bot berkelajuan tinggi melempar bom botol dan batu-batu besar ke arah kapal M/V Farley Mowat di Teluk California pada Khamis hingga menyebabkan kebakaran dan memecahkan tingkap kapal peronda itu.

Kejadian merupakan kejadian kedua dalam tiga minggu. Serangan sama berlaku juga di perairan sama pada 9 Januari lalu.

“Dalam kejadian terbaru ini, lebih 50 penyerang yang menyamar sebagai nelayan menyerang kapal,” menurut kenyataan kumpulan alam sekitar dari Amerika Syarikat itu.

Sea Shepherd kerap membuat rondaan kawasan perlindungan ikan lumba-lumba vaquita yang diwujudkan oleh Mexico di Teluk California.

Spesies ikan lumba-lumba itu kini diancam kepupusan. Usaha menyelamatkan mamalia itu disokong oleh aktor Leonardo DiCaprio dan jutawan Mexico, Carlos Slim. – AFP, 2 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen