Kerana skandal 1MDB, Goldman Sachs mungkin potong bonus eksekutif


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, bank itu berkata bonus itu akan dipotong bergantung kepada keputusan siasatan 1MDB. – Gambar EPA, 2 Februari, 2019.

GOLDMAN Sachs pada Jumaat berkata ia akan menahan bonus berjumlah jutaan dolar kepada bekas pegawai eksekutif (CEO) Lloyd Blankfein dan beberapa eksekutif lain susulan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata bonus akan dipotong bergantung kepada keputusan siasatan 1MDB.

Kes tersebut memberi imej buruk kepada bank gergasi Amerika Syarikat (AS) itu. Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada November lalu mendakwa dua bekas pegawai bank Goldman atas peranan mereka dalam penyelewengan dana 1MDB yang merupakan skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Pendakwa raya AS juga berkata “pegawai eksekutif berpangkat tinggi” yang tidak dinamakan, yang kemudiannya menurut sumber dikenali sebagai Blankfein, pada 2009 telah bertemu dengan Low Taek Jho yang didakwa dalang di sebalik skandal tersebut. 

Goldman membantu 1MDB mengeluarkan bon bernilai AS$6.5 bilion tetapi menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, sebanyak kira-kira AS$3 bilion telah dicuri.

Blankfein yang meletak jawatan sebagai CEO pada hujung September lalu dan mengundur diri dari lembaga pengarah bank itu pada Disember, menerima pampasan tahunan AS$20.5 juta (RM84 juta) bagi 2018. Jumlah ini kurang AS$24 juta pada tahun sebelumnya.

Bank itu tidak akan memberi bonus bagi prestasi jangka panjangnya yang mula diberi pada 2011, yang mana menurut laporan The Wall Street Journal berjumlah hampir AS$14 juta.

CEO sekarang ini, David Solomon menerima AS$23 juta pada 2018, berbanding AS$21 juta pada 2017.

Solomon pada Disember mempertahankan Goldman Sachs, menepis banyak kritikan terhadap bank itu. Beliau berkata Goldman Sachs akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa dalang di sebalik skandal itu ke muka pengadilan.

Goldman Sachs pada minggu lepas melaporkan keuntungan yang lebih baik daripada jangkaannya. Bank itu memcatat pendapatan bersih AS$36.6 bilion bagi 2018, dengan pendapatan sebelum cukai AS$12.5 bilion, iaitu naik 12% berbanding 2017 dan yang tertinggi sejak 2010. – AFP, 2 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen