AMERIKA Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 yang dicapai dengan Rusia pada Perang Dingin, menuduh Moscow melanggar perjanjian itu.
Keputusan itu dibuat kurang beberapa jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan AS dan Washington mendakwa Rusia berdiam diri mengenai pembangunan sistem peluru berpandu jarak sederhana baharu oleh Moscow.
Negara-negara Barat menyifatkan senjata baharu itu melanggar Perjanjian INF 1987 yang melarang sebarang pelancaran peluru berpandu jarak sederhana, dengan jarak antara 500 hingga 5,500 kilometer.
AS mendakwa Rusia telah membangunkan sebuah senjata peluru berpandu jarak sederhana dikenali sebagai Novator 9M729.
Senjata terbabit membolehkan Rusia melancarkan serangan nuklear ke atas negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam tempoh masa yang singkat.
Presiden AS Donald Trump berkata Washinghton akan menggantung semua pematuhan di bawah Perjanjian INF dan memulakan proses menarik diri daripada perjanjian itu berkuatkuasa Sabtu.
Katanya proses itu akan mengambil masa enam bulan melainkan Rusia kembali mematuhi perjanjian dan memusnahkan semua peluru berpandu yang melanggar syarat.
“AS mematuhi Perjanjian INF lebih 30 tahun tetapi kita masih belum melanggar syarat-syaratnya sedangkan Rusia bertindak sebaliknya,” kata Trump.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo yang mengumumkan keputusan itu pada sidang media, berkata Washington masih mahu berunding mengenai isu kawalan senjata dengan Rusia dan berharap Moscow akan patuh dengan perjanjian itu.
“AS berharap hubungan yang lebih baik dengan Rusia, tetapi Moscow menukar haluan mereka dengan melakukan aktiviti yang menggugat kestabilan, bukan sahaja dalam isu ini, tetapi dalam banyak isu lain,” katanya.
Keputusan AS itu disokong oleh Nato yang merupakan sekutu kuat Washington.
Bagaimanapun Moscow tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan Washington itu. – AFP, 1 Februari, 2019.
Komen