Di sebalik kontroversi, sistem ranking dunia bantu UM lahir graduan berkualiti 


Sheridan Mahavera

Universiti tertua di negara ini menyaksikan peningkatan sebanyak 400% dalam dana industri dan antarabangsa bagi projek kajian dari 2013 hingga 2017, tempoh yang sama apabila memperkukuhkan kedudukan dalam ranking universiti dunia, kata Naib Canselornya Dr Abdul Rahim Hashim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Februari, 2019.

SISTEM ranking universiti terbaik dunia terus memberi manfaat kepada Universiti Malaya (UM) untuk menghasilkan lebih banyak kajian dan melahirkan graduan berkemahiran di pasaran pekerjaan walaupun penggunaan kaedah carta itu mencetuskan kontroversi.

Universiti tertua di negara ini menyaksikan peningkatan sebanyak 400% dalam dana industri dan antarabangsa bagi projek kajian dari 2013 hingga 2017, tempoh yang sama apabila memperkukuhkan kedudukan dalam ranking universiti dunia, kata Naib Canselornya Dr Abdul Rahim Hashim.

Kata Abdul Rahim sistem itu juga membantu UM menganjurkan lebih banyak program pertukaran pelajar asing yang membantu pelajar dari golongan B40 (60% pelajar UM adalah daripada golongan tersebut) untuk mempelajari kemahiran kritikal seperti komunikasi dan menyelesaikan masalah sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

Walaupun kerajaan baharu mahu universiti di negara ini tidak lagi bergantung kepada sistem ranking, Abdul Rahim berkata UM masih melihat kaedah itu sebagai cara berguna menilai keupayaan pihak universiti untuk melaksanakan misi utamanya - menyebarkan dan mencipta pengetahuan, dan menghasilkan graduan yang berdaya saing.

Abdul Rahim mengakui bahawa sistem ranking seperti Times Higher Education (THE) dan Symonds (QS) QS-World University Ranking mempunyai kelemahan tersendiri dan tidak sempurna.

Beliau juga tidak menafikan bahawa sistem itu boleh ‘dipergunakan’ tetapi menekankan bahawa UM menaiki carta secara organik dan menerusi pelaburan besar dalam keupayaan membina kajian dan  mencipta kurikulum yang lebih baik untuk menghasilkan pelajar berkemahiran.

Walaupun kerajaan baharu mahu universiti di negara ini tidak lagi bergantung kepada sistem ranking, Abdul Rahim berkata UM masih melihat kaedah itu sebagai cara berguna menilai keupayaan pihak universiti untuk melaksanakan misi utamanya - menyebarkan dan mencipta pengetahuan, dan menghasilkan graduan yang berdaya saing. – Gambar Wikipedia, 2 Februari, 2019.

“Kita tidak membayar mana-mana perunding,” kata Abdul Rahim merujuk kepada amalan mengupah firma yang berkait rapat dengan QS Rankings untuk menasihatkan institusi pengajian tinggi tentang cara memperbaiki kedudukan dalam carta universiti terbaik dunia.

“Misi kami adalah jelas, untuk menyebarkan pengetahuan kepada pelajar, mencipta pengetahuan baru melalui penyelidikan dan membangunkan pelajar dengan nilai dan sifat yang sesuai,” kata Abdul Rahim kepada The Malaysian Insight dalam temu bual di kampus UM di Kuala Lumpur.

“Namun ada pihak akan bertanya kepada kami tentang keberkesanan misi ini? Apa kaedah metrik yang digunakan untuk menunjukkan kelebihan kami?

“Kami mempunyai kaedah penilaian tempatan tetapi dari sana kami memilih untuk mengambil bahagian dalam penilaian antarabangsa. Jika kita tidak dinilai dengan itu, apakah alternatifnya? Orang membuat perbandingan dengan pelajar di Universiti Nasional Singapura.

“Sistem ranking mungkin tidak sempurna…tetapi ia membantu kami.” – 2 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen