Trump serius mahu undur tentera dari Afghanistan, kata Taliban


AS menggulingkan kerajaan Taliban di Afghanistan pada 2001 dan berperang di negara itu selama 17 tahun. – Gambar EPA, 1 Februari, 2019.

TALIBAN mendakwa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengambil serius untuk mengundurkan tentera dari Afghanistan.

Jurucakap kumpulan militan itu Zabihullah Mujahid berkata pelaksanaan sistem Islam lebih esuai dengan penduduk Afghanistan dan pihaknya berharap dapat mencapai sebarang perjanjian damai dengan AS.

Beliau berkata demikian sehari selepas AS melaporkan rundingan dengan Taliban berada di landasan betul, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa perjanjian akan dicapai untuk menamatkan konflik selama 17 tahun di negara itu.

Trump sebelum ini dilihat bersungguh-sungguh mahu mengundurkan tentera dari Afghanistan dan menjadi sebahagian syarat rundingan tersebut yang berlangsung selama enam hari berturut-turut di Qatar pada minggu lalu.

“Satu perjanjian dicapai berdasarkan prinsip rangka kerja, dan jika dilaksanakan, dan jika AS benar-benar jujur, maka penjajahan di Afghanistan akan berakhir,” kata Mujahid.

“Ia kelihatan seperti Trump benar-benar serius.”

Taliban mengambil alih Afghanistan pada 1996 dan melaksanakan undang-undang Syariah di negara itu sebelum digulingkan dalam pencerobohan AS pada 2001.

Kumpulan itu kemudiannya melancarkan pemberontakan untuk mendesa tentera asing berundur dan mahu mewujudkan semula negara Islam.

Mujahid berkata pengunduran tentera asing merupakan objektif pertama dalam perjanjian itu.

“Keduanya, kita mahu melaksanakan sistem Islam,” katanya. – AFP, 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen