Dr M tidak terkejut dengan populariti Najib


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir berkata Najib tidak memberikan impak sebenar walaupun Barisan Nasional berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Februari, 2019.

PERDANA Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak terkejut dengan populariti pendahulunya Najib Razak yang kini mendapat perhatian media sosial.

Beliau berkata Najib tidak memberikan impak sebenar walaupun Barisan Nasional berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Ya, mereka menang tetapi mereka kehilangan banyak undi.

“Dia seolah-olah telah mendapat populariti tetapi hanya di media sosial dan ia bukan impak sebenar,” kata pengerusi Pakatan Harapan kepada media hari ini selepas mempengerusikan mesyuaratnya.

Dr Mahathir menyatakan bahawa Najib sepatutnya melakukan semua perkara yang beliau desak ketika dia masih berkuasa.

“Dia sepatutnya melakukan perkara-perkara yang dia mahu kami lakukan sekarang dan dia mungkin akan masih menjadi PM. (Namun) pada masa itu, dia tangkap orang-orang seperti Shafie Apdal (Ketua Menteri Sabah) dan Maria Chin, mereka ditangkap dan dikurung di dalam bilik gelap.

“Sekarang kita benarkan dia beri ucapan dan beri jaminan kepadanya, dia tidak perlu pakai pakaian lokap, kita jauh lebih demokratik, kerajaan dia, kleptokrasi,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada kebebasan Najib.

Najib mencipta populariti di media sosial bulan lalu ketika mendekati generasi muda apabila beliau melancarkan kempen media sosial yang bermula dengan gambarnya di atas motosikal dengan slogan “Malu Apa Bossku”.

Kempen ini juga menjalankan beberapa acara awam di beberapa lokasi di ibu negara yang khalayaknya terdiri daripada golongan muda.

Beliau dilihat aktif di media sosial sejak sebulan lalu, mendesak pemimpin Pakatan Harapan mengotakan janji-janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum.

Sejak kalah dalam pilihan raya umum, Najib setakat berdepan dengan 42 pertuduhan rasuah berhubung penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen