SEORANG datuk bandar Jepun hari ini sedia melepaskan jawatannya selepas dikecam teruk kerana mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membakar sebuah bangunan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan jalan.
Fusaho Izumi, datuk bandar Akashi dekat Kobe di barat Jepun, dirakamkan berkata demikian ketika memarahi seorang pegawainya yang mengadu mengalami kesukaran untuk menghalau penduduk dan pemilik bangunan tersebut.
“Adakah anda bodoh?” katanya dalam rakaman pada Jun 2017.
“Halau mereka! Pergi dan bakar (bangunan) itu hari ini. Bakar! Ini bukan gurauan! Pergi dan musnahkan bangunan itu sekarang!”
Rakaman itu disiarkan oleh media tempatan minggu ini.
Isu itu menjadi tajuk utama media dan disiarkan berulang kali pada program televisyen.
Sementara itu, Izumi dalam sidang medianya berkata, tindakannya itu tidak boleh dimaafkan.
“Selepas disiarkan dalam berita, pihak majlis perbandaran menerima banyak panggilan.
“Hal ini mengganggu operasi majlis. Jika berlaku demikian, ia juga akan menyusahkan penduduk tempatan,” katanya.
“Kejadian itu jelas menunjukkan saya tidak mempunyai kualiti sebagai pemimpin,” katanya. – AFP, 1 Februari, 2019.
Komen